Yong Fairos Sarip – Pengurus Pemasaran Ivy Six (Ivy 6) Body Care
Posted on : 10-08-2009 | By : mirlme | In : Blog
0
NAMA: Yong Fairos Sarip
JAWATAN: Pengurus Pemasaran Ivy Six (Ivy 6) Body Care
UMUR: 42 tahun
ASAL: Setapak, Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Anak sulung empat beradik
JIKA murid lain ke sekolah membawa beg mengandungi buku pelajaran, Yong Fairos Sarip membawa dua beg – satu beg sekolah manakala satu lagi beg plastik berisi bungkusan nasi lemak untuk dijual kepada rakan dan guru.
Dua beg itu dibawanya ke sekolah menaiki bas. Beliau ke sekolah dengan beg yang berat dan apabila pulang, diharap beg plastik berkenaan kosong, menandakan nasi lemak habis dijual.
Namun, tidak semua yang diharap menjadi kenyataan. Ada masanya Yong Fairos pulang dengan beg plastik yang kosong tetapi nasi lemak bukan dijual, sebaliknya diberi percuma kepada rakan.
“Saat paling sedih ialah apabila rakan tidak mahu membeli nasi lemak, sebaliknya tunggu waktu loceng balik kerana mahu mendapatkan nasi lemak percuma.
“Mereka tahu, jika nasi lemak tidak habis dijual, saya memberinya percuma kerana tidak mahu pulang dengan beg berat. Mujur guru sekolah banyak memberi sokongan,” katanya.
Itu rencah perjalanan Yong Fairos Sarip, 42, lebih 30 tahun lalu. Wanita lima anak itu kini Pengurus Pemasaran Ivy Six (Ivy 6) Body Care, pemilik salun kecantikan, pengusaha butik D’Fyros Collection dan pemborong pakaian siap.
Pahit manis dilalui menjadikan Yong Fairos lebih memahami dunia perniagaan dan mampu bertahan dengan pelbagai cabaran yang datang.
Bapanya, Sarip Ibrahim, 72, adalah anggota tentera dengan pendapatan RM300 sebulan manakala ibunya, Rabaaisah Mohamad (meninggal dunia November lalu), suri rumah.
Bagi menambah pendapatan keluarga, ibunya menyediakan nasi lemak dan kuih-muih untuk dijual oleh Yong Fairos.
Anak sulung empat beradik itu diajar berniaga sejak berusia tujuh tahun. Pada hari biasa, beliau menjual kuih-muih di kampungnya di Kampung Pasir, Setapak, manakala pada musim cuti persekolahan bermula usia 12 tahun, Yong Fairos bekerja sambilan di kilang kertas untuk mencari wang saku. Gaji diterima digunakan untuk membeli buku, membayar yuran dan belanja sekolah.
Walaupun mendapat pangkat satu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Yong Fairos tidak berpeluang melanjutkan pelajaran kerana keadaan keluarganya yang susah.
Beliau kemudian menimba pengalaman sebagai kerani di syarikat minyak dan gas selama lapan tahun sebelum bertukar kerja sebagai setiausaha di syarikat lain.
Sewaktu bekerja makan gaji, Yong Fairos menambah pendapatannya dengan bekerja sambilan menjual produk jualan langsung (MLM). Kesungguhannya dalam MLM membuahkan hasil apabila mampu mencatat jualan sehingga RM200,000 dalam tempoh enam bulan dengan bantuan rakan niaga peringkat bawah (downline).
Bagaimanapun, disebabkan kecewa dengan sikap rakan niaga peringkat atas (upline), Yong Fairos mengundurkan diri selepas enam tahun bergiat dalam perniagaan itu.
Yong Fairos juga pernah berniaga pasar malam dengan menjual pakaian di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Sambutan diterima sungguh menggalakkan, sekali gus membuatkan beliau tambah bersemangat berniaga.
Tidak mahu membataskan jenis perniagaan, beliau kemudian membuka salun kecantikan D’Fyros Collection and Beauty Saloon. Perniagaan ini sememangnya bersesuaian dengan jiwanya yang mementingkan kecantikan dan penampilan menawan.
Bersama rakan kongsi, pada 2003, beliau kemudian menubuhkan Ivy 6 Body Care iaitu syarikat yang mengeluarkan produk pelangsingan, kosmetik, produk kesihatan, spa dan penjagaan rambut.
Yong Fairos yang bertindak sebagai pengurus pemasaran mencari pasaran baru bagi memperkenalkan produk berkenaan dengan berkunjung dari salun ke salun.
Pada 2005, Ivy 6 diperbadankan kepada syarikat Sendirian Berhad. Sehingga kini Ivy 6 mempunyai 300 pengedar di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, dan 150 ahli.
“Pelbagai cabaran saya lalui ketika ingin mencari pasaran baru produk ini. Ada individu yang memegang jawatan sebagai bos tetapi tidak mahu mengaku bos untuk mengelak membeli produk kami, malah ada yang memberi alasan tidak masuk akal, misalnya produk tidak boleh dijual atau mahal.
“Apapun, IVY 6 adalah produk termurah di pasaran Malaysia berbanding jenama lain, tetapi mempunyai keberkesanan sama. Peringkat permulaan, ada pihak mengambil produk tetapi tidak membayarnya,” katanya.
Penghujung tahun lalu, ketika ekonomi negara dan dunia kurang memberangsangkan, Ivy 6 melangkah setapak lagi melalui program mentor mentee.
Ivy 6 Beauty Saloon memiliki 11 cawangan iaitu di Negeri Sembilan (dua cawangan), Johor (1), Pulau Pinang (1), Pahang (1), Selangor (2) dan Kuala Lumpur (4).
Sementara itu, melalui Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn Bhd (Komita) di bawah sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Ivy 6 berjaya memperluaskan pasaran ke Myanmar, United Kingdom dan Maghribi, manakala Vietnam iaitu di Hanoi dan Ho Chi Minh, April ini. Produk usahawan tempatan, termasuk Ivy 6, dijual di kompleks jualan di luar negara terbabit.
Pencapaian Ivy 6 melangkaui pasaran luar negara boleh dikatakan membanggakan kerana di peringkat permulaan, ada suara sumbang mengatakan produk itu tidak boleh dijual atau tiada sambutan, tetapi ternyata tanggapan itu salah kerana ia berjaya meneroka pasaran luar negara, malah menerima sambutan menggalakkan.
credit to Metro


Comments