Kisah Kejayaan Zakiah Abu Kasim – Pengarah Urusan Taharah Global (M) Sdn Bhd.
Posted on : 19-07-2010 | By : mirlme | In : Blog
2

DIA pernah dianggap gila apabila sanggup melepaskan jawatan sebagai pengurus dengan gaji lumayan di syarikat bertaraf antarabangsa tanpa berfikir panjang semata-mata mahu mencapai impian bergelar usahawan berjaya.
Namun, kata cacian serta pandangan sinis mereka tidak pernah melunturkan semangatnya malah menjadi suntikan bagi Zakiah Abu Kasim, 50, untuk membina empayar perniagaan sendiri.
Menceritakan kembali keperitan hidup sebelum memperoleh kejayaan 10 tahun lalu, wanita cekal ini pernah menggadai harta bendanya untuk dijadikan modal produk pertama keluaran syarikatnya iaitu sabun Taharah yang digunakan untuk bersuci.
“Sebelum mengambil keputusan berhenti kerja, saya membuat penyelidikan selama empat tahun di makmal sendiri di rumah saya mengenai kebaikan tanah liat yang mempunyai pelbagai khasiat tersembunyi.
“Satu daripada kebaikannya ialah boleh digunakan untuk bersuci daripada najis mughallazah iaitu najis paling berat yang selalu terlepas pandang bagi orang Islam.
“Memandangkan waktu itu belum ada produk praktikal untuk bersuci, saya mengambil keputusan mencipta sabun yang lebih mudah digunakan,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Taharah Global di Prima Damansara, Selangor.
Menurutnya, mujur juga anak saudaranya, Azean Mahmud yang bekerja di sektor perbankan sanggup berhenti kerja kerana mahu membantunya selain minat mendalam terhadap dunia perniagaan.
Persepsi negatif masyarakat terhadap golongan Bumiputera dalam bidang perniagaan juga memberi tekanan hebat apabila permohonan Zakiah untuk mendapatkan pinjaman bank gagal kerana dikatakan tidak memenuhi pelbagai syarat termasuk yang dianggapnya tidak munasabah.
“Bayangkan anak saudara saya yang pernah bekerja di sektor perbankan juga gagal membuat pinjaman kerana mereka tidak yakin dengan Bumiputera yang mahu memulakan perniagaan. Akibatnya, kami hampir putus asa apabila lima bank tidak mahu memberi pinjaman.
“Tetapi demi minat dan azam menggunung untuk merealisasikan impian, saya nekad menggadaikan rumah sewa, kereta dan harta yang ada untuk menampung perbelanjaan kerana waktu itu orang ramai masih belum kenal produk Taharah.
“Selain itu, saya turut melakukan pelbagai kerja termasuk menjual laksa, bubur lambuk dan pecal di pasar malam. Saya juga membuat hantaran perkahwinan dan memberi sabun Taharah percuma selama setahun kepada orang ramai selain menjual sendiri di kaki lima bagi mendapatkan modal,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, keperitan hidup juga menyebabkan Zakiah dan keluarga dihalau keluar dari rumah sewa di Bandar Sri Damansara akibat gagal melunaskan tunggakan sewa selama tiga bulan.
Untuk menampung perbelanjaan dan kos sara hidup, Zakiah terpaksa mencari pelbagai inisiatif termasuk menebalkan muka meminjam duit daripada kawan dan saudara-mara, namun kecewa apabila mereka memberi banyak alasan.
Berlainan dengan Azean yang disyaratkan membawa 10 ketul sabun tanpa dibekalkan satu sen wang dan perlu menjual hingga habis walau dengan apa cara sekalipun.
“Saya tak sangka dia boleh lakukan tapi pada masa sama saya berbangga dengan pencapaian di luar jangkauan. Semakin hari, usaha kami makin membuahkan hasil apabila orang ramai sudah mula membuka mata dan mengenali sabun Taharah,” katanya.
Selepas beberapa tahun bekerja keras, akhirnya mereka cuba mendapatkan pinjaman dari Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk meluaskan lagi perniagaan ini dan diluluskan.
Tambah Zakiah, bermula dari situ, Taharah Global berkembang pesat dengan lebih lima produk dihasilkan seperti losyen, skrub badan dan pembersih wanita yang menggunakan rumpai laut serta tanah liat sebagai bahan utama.
Lebih membanggakan apabila pelanggan di luar negara menerima baik produk buatan tempatan kerana percaya pada kualiti serta keberkesanannya.
“Produk Taharah kini dipasarkan ke Kanada, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Brunei, Hong Kong, United Kingdom dan Singapura. Hingga kini terdapat 27 stokis dan lebih 1,000 pengedar di seluruh negara termasuk Sabah Sarawak. Pengalaman lalu banyak mengajar saya erti kehidupan sebenar. Barulah saya kenal siapa kawan dan siapa lawan,” katanya penuh makna.
PROFIL
NAMA: Zakiah Abu Kasim.
UMUR: 50 tahun.
JAWATAN: Pengarah Urusan Taharah Global (M) Sdn Bhd.
ASAL: Negeri Sembilan.
PENDIDIKAN: Ijazah ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM) dan Diploma Sains Kosmetik, London College of Beauty, United Kingdom.
credit to Hmetro


Assalamualaikum Puan Zakiah,Tahniah kepada Puan Zakiah diatas kegigihan Puan dan saya sangat berterima kasih diatas ciptaan sabun ini.
Saya telah mula menggunakan sabun Taharah sejak 5 tahun yang lalu apabila dalam usia 40an saya dapati kulit muka saya telah mula kelihatan jeragat yang memang lazimnya akan keluar diwajah matang seperti saya.Alhamdullillah, sejak menggunakan sabun taharah, jeragat tidak menambah dan kulit saya kelihatan lebih bersih. Kawan-kawan yang seusia saya sering tidak percaya bila saya katakan saya mencuci muka dengan sabun taharah kerana mereka beranggapan saya telah menggunakan produk berjenama yang mahal. Saya sentiasa yakin dengan sabun taharah dan selalu mengesyorkan penggunaan sabun taharah. Malah bila saya memanjakan diri di salun pun, saya sering ditanya tentang penjagaan kulit dan saya tidak segan silu memberitahu yang saya hanya menggunakan sabun taharah sebagai bahan pencuci muka saya. Teruskan usaha murni ini dan saya Insyaallah akan terus kekal menggunakan sabun taharah. Wassalam.
GOOD,nice
sering ditanya tentang penjagaan kulit dan saya tidak segan silu memberitahu yang saya hanya menggunakan sabun taharah sebagai bahan pencuci muka saya. Teruskan usaha murni ini dan saya Insyaallah akan terus kekal menggunakan sabun taharah. Wassalam.