Kisah Kejayaan Sadiah Abdul Shukor – Pengarah Urusan IP Food Industries (M) Sdn Bhd
Posted on : 19-07-2010 | By : mirlme | In : Blog
0

NAMANYA kek lapis Sarawak, tetapi ia bukan dibuat di Bumi Kenyalang, sebaliknya di Beranang, Selangor. Disebabkan itu, kek lapis Sarawak D’Lah sering menimbulkan tanda tanya dan kekeliruan kepada mereka yang baru mengenalinya.
Yakin perniagaan itu mempunyai potensi baik untuk berkembang, Sadiah Abdul Shukor, 46, memberanikan diri mengatur langkah meneruskan impiannya menjadi pengeluar kek lapis Sarawak di sini.
Memulakan perniagaan empat tahun lalu, Sadiah yang mendapat sokongan padu suaminya, Abdullah Abdul Rahman, 46, tidak terkecuali berdepan saat getir.
Awalnya, mencari pasaran bukan mudah kerana orang Semenanjung kurang berminat dengan kek lapis Sarawak. Pengeluaran terpaksa dikecilkan walaupun perlu membayar gaji pekerja dan sewa kilang selama dua tahun.
Usaha tidak mengenal jemu mempromosi produknya akhirnya menampakkan sinar. Kek Lapis D’Lah semakin dikenali dan mendapat permintaan tinggi.
Mengenang pembabitan awal, Pengarah Urusan IP Food Industries (M) Sdn Bhd itu berkata, lebih banyak duit keluar untuk menjelaskan sewa kilang dan gaji pekerja, sedangkan wang masuk belum ada.
Untuk mencari pasaran, Sadiah memasarkan kek lapis Sarawak keluarannya ke hotel, kafe dan mendaftar di kementerian berkaitan yang memberi ruang untuk tujuan promosi.
“Saya nampak potensi kek lapis Sarawak kerana apabila orang Semenanjung ke sana, mereka mesti mahu beli kek lapis. Adanya pengeluaran kek lapis Sarawak di sini memudahkan orang ramai yang ingin memiliki kek lapis.
“Ini kerana mereka tidak perlu ke Sarawak, sebaliknya boleh mendapat kek yang baru dibakar tanpa perlu pergi jauh,” katanya.
Dua tahun pertama mencuba perniagaan ini, Sadiah mengakui dia hampir tersungkur dan tidak mampu bertahan, namun sokongan suami menguatkan semangatnya untuk terus kental menghadapi cabaran yang datang.
“Sudah banyak pelaburan dibuat, menyebabkan suami tidak berputus asa memberi dorongan. Kalau tidak kerana sokongannya, mungkin saya begitu lemah. Suami bukan saja memberi sokongan moral, sebaliknya memberi modal permulaan dan modal pusingan,” katanya.
Sadiah membuka kilang kek lapis pada 2006 dengan modal RM40,000 diperoleh suami selepas mengusahakan perniagaan itu secara kecil-kecilan di rumah pada tahun sebelumnya.
Dia yang sememangnya gemar memasak dihantar suami mengikuti kursus dua minggu membuat kek lapis di Bumi Kenyalang. Kursus diikuti tidak mengambil masa lama kerana Sadiah pernah memasuki kelas membuat bakeri, kek dan pastri di Filipina.
“Pada 1988 hingga 1992, ketika anak baru seorang, saya mengikut suami yang bekerja di Jabatan Perdana Menteri bertugas di Kedutaan Malaysia di Manila.
“Disebabkan tidak mahu membuang masa di negara orang, saya mengikuti kelas berkenaan untuk menambah ilmu dan persediaan untuk masa akan datang,” katanya.
Sekembalinya ke tanah air, Sadiah bekerja sebagai jururawat selama enam tahun sebelum beralih ke bidang insurans.
Ekonomi negara yang merudum pada 2004 menyebabkan ibu lima anak itu terfikir untuk berbuat sesuatu bagi menjana pendapatan dan hidup lebih selesa.
“Sejak menjadi jururawat lagi, saya bercita-cita membuka perniagaan. Menetap di Filipina membuka minda saya untuk berniaga. Setiap individu, jika bergantung pada pekerjaan sedia ada, hanya dapat hidup sederhana dan saya mengalaminya.
“Disebabkan hidup sederhana sejak kecil, saya teringin hidup lebih selesa hasil usaha dan kesungguhan memajukan diri,” katanya.
Anak kelima tujuh beradik itu lahir daripada keluarga suka berniaga. Ramai adik beradiknya terbabit dalam perniagaan. Malah sewaktu kecil, Sadiah membantu bapanya berniaga mi rebus di Johor Bahru sebelum orang tuanya beralih menjual ikan di pasar besar.
“Berniaga memang seronok kerana tengok duit setiap hari. Semangat sentiasa ada dan tidak rasa bosan. Apabila sebut cenderahati perkahwinan, ramai orang ingat bahulu, tetapi kita buat perubahan dengan mempopularkan kek lapis Sarawak.
“Ia bukan saja boleh dihadiahkan kepada tetamu tetapi juga sebagai kek hantaran, majlis keraian, hari keluarga, jamuan Aidilfitri, cenderahati mesyuarat dan hamper,” katanya.
Kek lapis Sarawak keluarannya dipasarkan di bazar di Tesco Semenyih, pasar tani, hotel, kafe, stesen minyak sekitar Bangi, Kajang dan Putrajaya. Pada Aidilfitri ia mendapat permintaan tinggi, termasuk dipasarkan di Jusco. Ia dijual terus kepada pengguna atau menerusi ejen.
PROFIL
NAMA: Sadiah Abdul Shukor
UMUR: 46
ASAL: Johor Bahru, Johor
JAWATAN: Pengarah Urusan IP Food Industries (M) Sdn Bhd
SUAMI: Abdullah Abdul Rahman
ANAK: Nur Farah Deelah (22); Nur Sakinah Diyanah (19); Nur Atikah Huda (16), Nur Aliah Iza (13) dan Abdul Faris Raziq (4)
credit to Hmetro


Comments