Featured Posts

Mirlme Blog Rss

Kisah Kejayaan Mohd Nasaruddin Ahmad – Pengarah Urusan Nurbeautyline Holdings Sdn Bhd & Nurbeautyline Skincare Sdn Bhd

Posted on : 07-09-2010 | By : mirlme | In : Blog, Kisah Kejayaan, Motivasi, Tips Motivasi, Usahawan

1

LATARNYA tidak mempunyai ilmu asas perniagaan seperti ahli perniagaan berjaya lain, namun tidak bermakna seseorang itu tidak boleh berjaya.

Pemilik produk kesihatan dan kecantikan Nurbeautyline ini mengakui, minat mendalam terhadap bidang perniagaan membuatkan dia tekad mengambil risiko meskipun waktu itu krisis kegawatan ekonomi melanda negara.

“Saya berasal daripada keluarga susah. Ayah hanya pekerja buruh biasa di jabatan kerajaan, manakala ibu suri rumah sepenuh masa.

“Sebagai anak kedua daripada lima beradik, saya rasa bertanggungjawab membantu orang tua. Bagi meringankan beban mereka, saya berusaha mencari pendapatan sendiri untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya.

Menurut bapa seorang cahaya mata ini lagi, jika kanak-kanak lain seusia dengannya pergi sekolah berbekalkan wang saku pemberian ibu bapa, berlainan pula dengannya.

Seawal usia 12 tahun, Nasaruddin menjual kuih seperti karipap, bingka ubi dan nasi lemak yang dibuat jirannya di Hospital Alor Setar untuk menampung perbelanjaan. Dengan wang itu dia membeli barangan keperluan dan dijadikan wang saku.

Tamat alam persekolahan di Sekolah Menengah Syed Mohammed Al-Bukhari, Alor Setar, dia bekerja sebagai kedi golf di Kelab Golf Diraja Alor Setar dengan pendapatan RM300 sebulan.

Keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melayakkan dirinya memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam jurusan Komunikasi Massa (pengiklanan).

Tamat belajar, Nasaruddin bekerja sebagai jurujual di Yaohan, The Mall selama tiga bulan sebelum diterima bekerja di bahagian jualan di Kumpulan Karangkraf.
“Selepas lapan tahun di sana, saya berasa bosan dan mula berfikir mahu mencuba sesuatu yang baru selain tidak mahu bekerja makan gaji saja.

“Akhirnya saya tekad berhenti kerja dan membuka syarikat pengiklanan dengan modal RM50,000. Waktu itu saya berdepan risiko besar iaitu krisis ekonomi,” katanya.

Menurut Nasaruddin, keadaan waktu itu hanya Tuhan yang tahu. Tiada pelanggan, tidak dapat bayaran pada waktu, ditambah pula pelanggan dipercayai seakan-akan mengelak apabila diminta membuat pembayaran, antara cabaran dihadapi.

Pun begitu, semuanya dianggap asam garam dunia perniagaan yang sedikit sebanyak mengajarnya supaya tidak terburu-buru membuka sesuatu perniagaan.

Selepas itu dia membuka syarikat penerbitan di Sentul Raya bersama dua rakan selama dua tahun sebelum ditutup kerana masalah peribadi.

“Walaupun dua syarikat dibuka tidak berjaya saya tidak putus asa, malah membuatkan saya berusaha memiliki sebuah syarikat kukuh seperti orang lain.

“Bersandarkan pengalaman sewaktu membuka syarikat pengiklanan dulu, bidang kosmetik dilihat mempunyai potensi tinggi untuk berjaya berbanding produk lain.

“Atas alasan itu saya beranikan diri membuka perniagaan berasaskan kecantikan dan kesihatan menggunakan bahan utama kolagen dan soya,” katanya.

Kewujudan sesuatu produk baru memerlukan masa untuk dikenali. Begitu juga produk kolagen yang mula diperkenalkan oleh Nasaruddin.

Dia berdepan cabaran sukar apabila masyarakat kurang memberi sambutan terhadap produk keluarannya. Namun sokongan keluarga dan rakan membuatkan dia tidak pernah putus asa, malah bekerja lebih keras.

“Alhamdulillah, promosi dijalankan seperti mengiklankan produk di media cetak dan elektronik membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap khasiat kolagen dan soya.

“Produk ini semakin mendapat tempat dan sambutan diterima sungguh menggalakkan. Bermula dengan hanya produk daripada kolagen, kini Nurbeautyline mengorak langkah dengan menghasilkan produk kecantikan dan minuman sarang burung,” katanya.

Nasaruddin turut berbangga kerana dia menjadi peneraju pengeluaran produk berasaskan kolagen di negara ini. Namun sedikit kecewa kerana selepas bersusah payah membina perniagaan itu dan berjaya mendidik masyarakat mengenai khasiatnya, ada pihak lain cuba mengambil kesempatan mengeluarkan produk seumpamanya.

“Selepas menghasilkan produk ini, banyak pihak lain turut sama menghasilkan produk mereka berasaskan kolagen. Namun saya percaya rezeki ada di mana-mana,” katanya.

Mengenai kelebihan produk keluaran syarikatnya, Nasaruddin berkata, kolagen produknya diimport dari Jepun kerana mempunyai kualiti terbaik dan ada sijil halal sah selain harga ditawarkan berpatutan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.nurbeautyline.com.my

PROFIL
NAMA: Mohd Nasaruddin Ahmad
UMUR: 42 tahun
JAWATAN: Pengarah Urusan Nurbeautyline Holdings Sdn Bhd dan Nurbeautyline Skincare Sdn Bhd
ASAL: Alor Setar, Kedah
ISTERI: Norita Muhammad
ANAK: Nur Nadhirah (16)
PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Pengiklanan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

credit to Hmetro

Related Posts with Thumbnails
Jom Klik LIKE

Comments

comments

Comments (1)

oho… isteri beliau neh bekas bos sy… dier ketua bidang di sekolah lama…

Write a comment

*
CommentLuv badge