Kisah Kejayaan Halim Baba – Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaan Vita Cat
Posted on : 07-09-2010 | By : mirlme | In : Blog, Kisah Kejayaan, Usahawan
5

LAWATAN ke kilang pengeluar makanan kucing jenama terkenal di Bangkok, Thailand pada 2002 mencetuskan inspirasi baru dalam lembaran hidup Halim Baba sebagai penggemar baka kucing luar negara.
Daripada penggemar kucing, dia berazam menjadi pengeluar makanan haiwan kesayangan itu demi memenuhi tuntutan fardu kifayah.
“Saya dimaklumkan pekerja di kilang terbabit mengenai penggunaan organ dalaman babi dalam pembuatan makanan kucing dan anjing, “Mendengar penjelasan itu, timbul persoalan di benak saya kerana hampir 90 peratus penggemar kucing di Malaysia ialah Melayu Islam.
“Sejak itu saya mula mencari teknologi pembuatan makanan kucing. Bantuan seorang rakan yang bertugas sebagai bomba Thailand memudahkan saya melihat semua mesin digunakan dalam kilang pengeluar makanan kucing.
“Kebetulan ada petani Thailand beragama Islam bekerja di kilang berkenaan, ini memudahkan lagi saya mendapatkan resipi penyediaan makanan kucing,” katanya.
Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaan Vita Cat itu berkata, menerusi formula itu dia mengolah adunan makanan kucing halal menerusi penggunaan bahan mentah mudah diperoleh di Malaysia. Usaha penambahbaikan turut dibantu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).
Semua bahan untuk penyediaan makanan dan mini mesin diperoleh pada 2006 dan dua tahun kemudian Halim berjaya melancarkan produk keluarannya sendiri, sekali gus menjadi pengeluar makanan kucing Islam pertama di dunia.
Antara cabaran membangunkan perniagaan itu ialah dana selain ketiadaan sumber rujukan.
“Dalam Malaysia, ini produk makanan kucing pertama dihasilkan, menyebabkan tiada tempat untuk saya membuat rujukan. Industri makanan kucing di Thailand ialah pemain industri yang besar, malah ada yang bergabung dengan negara lain menjadi syarikat pengeluar makanan kucing antarabangsa. Hanya saya usahawan EKS (Enterpris Kecil Sederhana),” katanya.
Menurutnya, syarikat pengeluar makanan kucing di Thailand mengeluarkan 20 tan metrik sehari manakala dia mengecilkan jumlah pengeluaran kepada tiga tan metrik sehari. Difahamkan, Malaysia mengimport RM180 juta makanan kucing setahun dari Thailand, malah Jepun mengimport 70 kontena sebulan dari negara berkenaan.
“Selama ini kita disogokkan dengan apa juga produk yang datang dari Thailand tanpa mengetahui kandungannya. Mereka menggunakan daging dan bahan buangan ternakan.
“Isu ini nampak kecil tetapi sebenarnya berat di sudut syarak. Tanggungjawab saya memberi kesedaran kepada pengguna Islam mengenai perkara ini,” katanya.
Peringkat permulaan, Halim memasarkan produk keluarannya di kedai runcit sekitar Kedah dan menerima sambutan baik daripada pengguna.
Malangnya, pemborong dan pengedar memberi tekanan kepada kedai runcit supaya tidak mengambil barang yang menjadi saingan produk mereka, menyebabkan usaha memasarkan Vita Cat tersekat.
Katanya, Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa (Mihas) adalah platform terbaik untuk usahawan sepertinya mempromosi produk Islam dan menarik lebih ramai pengimport dari negara Islam lain.
Pada 2009, menerusi bantuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), produk Vita Cat berjaya menembusi pasaran pasar raya hiper. Ia kini boleh didapati di Giant, Tesco, Jusco, Carrefour, Mydin dan di masa akan datang turut dijual di Aeon Jusco dan UO.
“Vita Cat kini menjadi produk makanan kucing nombor satu di Giant, bersaing dengan beberapa jenama antarabangsa. Produk ini setanding dengan jenama antarabangsa,” katanya.
Halim berkata, produk itu turut dieksport ke Brunei sebanyak dua tan metrik sejak 2009 melalui pengedar di Kota Kinabalu, Sabah selain mendapat permintaan dari Iran baru-baru ini.
“Kebetulan, delegasi Iran yang menghadiri Mihas datang lebih awal iaitu sebelum pameran berlangsung. Mereka berkesempatan mengenali produk ini dan berminat mencuba melalui tempahan sampel sebanyak satu kontena baru-baru ini,” katanya.
Vita Cat turut mendapat tempat di India apabila dihantar tiga kontena sebulan sejak awal tahun ini.
“Disebabkan ia dibuat di dalam negara, sudah tentu ia lebih segar kerana ia dijual terus selepas dikilangkan berbanding produk luar.
“Ini kerana produk makanan kucing dari luar negara mengambil masa lebih enam bulan sebelum sampai ke sini disebabkan proses dan prosedur penghantaran yang memakan masa panjang,” katanya yang berpendapat masih ramai belum nampak potensi makanan kucing.
Halim berkata, penghasilan produk tempatan turut membantu mengurangkan pengaliran wang ke luar negara.
Vita Cat, satu-satunya syarikat yang menghasilkan makanan kucing di Malaysia, juga pengusaha Islam pertama terbabit dalam industri itu di negara ini serta di dunia.
“Kapasiti pengeluaran makanan kucing keluaran Vita Cat ialah 60 tan sebulan dan ia di tahap maksimum,” katanya.
Mendapat pendidikan di Jepun dalam bidang kejuruteraan mekanikal, Halim yang dibesarkan di Perlis memulakan kerjaya di syarikat Jepun di Pulau Pinang selepas meraih ijazah.
Selepas tiga tahun menimba pengalaman kerja, Halim mengambil keputusan menceburkan diri dalam perniagaan. Pada 1995 dia mengimport perabot dan keperluan mekanikal dari Indonesia.
“Ketika itu ekonomi Indonesia baru hendak pulih selepas era Suharto, menjadikan semua barang murah. Kebolehan bertutur bahasa Jepun memberi kelebihan untuk saya ketika menjadi pembekal barangan keperluan mekanikal kepada syarikat Jepun di utara semenanjung,” katanya.
Dia mula berminat memelihara kucing pada 1999 ketika krisis ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit berpunca daripada spekulator mata wang, George Soros.
“Keadaan gawat ketika itu menyebabkan peniaga sukar membuat pinjaman. Saya ambil keputusan berehat sekejap dan hobi untuk menenangkan fikiran ialah memelihara kucing.
“Saya suka berniaga dan pegang apa pun, mesti ia mempunyai nilai komersial. Berikutan itu timbul idea menjadi pengeluar makanan kucing,” katanya yang tidak betah makan gaji.
Sehingga kini Halim mempunyai 42 kucing pelbagai baka yang dipelihara untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Produk ini sesuai dengan cuaca Asia. Di Iran misalnya ada banyak kucing Parsi dan penerimaan terhadap produk saya sungguh baik.
“Saya kini mengkaji untuk menghasilkan makanan kucing sesuai untuk haiwan itu di negara empat musim. Saya nampak pasaran di Amerika Syarikat kerana di sana ramai umat Islam,” katanya.
Pengilang makanan kucing halal itu berkata, produknya mempunyai kandungan protein sebanyak 30 peratus dengan bahan asas daripada beras dan ikan, menjadikan kualitinya setanding dengan produk bermutu tinggi dari luar negara.
“Kebanyakan pengguna di Malaysia tidak melihat kandungan terperinci produk seperti penggunaan produk sampingan iaitu paras garam tinggi sehingga 40 peratus untuk mengawet daging bagi pembuatan produk berkenaan. “Garam yang banyak menyebabkan kucing mengalami kerosakan buah pinggang dan sukar membuang air. Akibatnya hampir 30 hingga 40 peratus penggemar kucing terpaksa menghantar kucing mereka menjalani pembedahan bagi membuang garam dan kristal.
“Produk kami tidak mungkin berlaku kesan sampingan seperti itu kerana kami menggunakan bahan semula jadi seperti beras dan ikan. Ikan diambil dari Kuala Kedah untuk pembuatan makanan kucing dalam tin.
“Ini sekali gus membantu nelayan tempatan yang dapat menjual ikan dengan harga lebih baik. Ketulan ikan kembung segar digunakan selain tiada jeli dan gelatin,” katanya.
>PROFIL
NAMA: Halim Baba
UMUR: 42 tahun
ASAL: Bayan Lepas, Pulau Pinang
JAWATAN: Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaan Vita Cat
PENDIDIKAN: Ijazah Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Shizouka, Jepun
ISTERI: Sophia Ali
ANAK: Suzalin (20), Mohd Hakimi (17), Sufi Suraya (13) dan Mohd Danial (5)
credit to Hmetro


brapa harga utk 1kg dan 5kg setiap satu?
bolehkah saya terus membeli dari pembekal sekitar k.l.
sila email saya tell nombor untuk dihubungi.
Salam Nor , Maaf saya cuma tulis kisah kejayaan..
Tiada no tel pembekal tu….
Salam saya tengok belakang paket 500 gram vitacat ada nombor dia 012-4664080.sekarang ni vitacat ada 1.5 kg dah
Salam… sekarang makanan kucing VITACAT dah tak ade di pasaraya GIANT.. di mana saya boleh mendapat bekalan makanan tu…..
@Abu – wah terbaik… Terima kasih atas info
@Siti – Saya tengok kat pasaraya biasa ada