Featured Posts

Mirlme Blog Rss

Kisah Kejayaan Datuk Mohd Nazar Samad – Pengarah Urusan Kumpulan KUB Malaysia Berhad

Posted on : 19-07-2010 | By : mirlme | In : Blog

0

PENCAPAIANNYA boleh disifatkan luar biasa. Betapa tidak, hanya dalam tempoh dua tahun mengemudi KUB Malaysia Berhad (KUB) sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, konglomerat yang memayungi puluhan syarikat itu mencipta kejutan apabila meraih keuntungan selepas 11 tahun dalam ‘kegelapan’.

Momentum pemulihan KUB terus meningkat dengan kemampuan meraih keuntungan untuk kali kedua bagi tahun kewangan 2009. Pada tempoh berkenaan KUB mencatat keuntungan bersih RM80.2 juta.

Sekali lagi, buat pertama kali dalam sejarah KUB, kontrak pengarah urusan kumpulan itu dilanjutkan sehingga 2013.

Begitulah rekod Pengarah Urusan Kumpulan itu. Beliau yang dimaksudkan adalah Datuk Mohd Nazar Samad, 54.

Dalam pertemuan baru-baru ini, anak kelahiran Jelutong, Pulau Pinang itu nyata gembira dengan pencapaiannya, namun itu bukan alasan untuk berbangga diri mahupun mendabik dada mengatakan beliau yang terbaik.

Beliau lebih gemar merendah diri dengan mengatakan kejayaan diperoleh adalah hasil kerjasama ‘pasukan’ yang mantap.

“Kita ada orang (pengurusan dan kakitangan) yang baik. Kita kena manfaatkan dengan cara kita.

“Bisnes tak ada yang pengakhirannya tidak baik, melainkan bisnes yang tidak baik. Pucuk pangkalnya kita kena uruskan dengan baik,” katanya.

Bagi Mohd Nazar, satu pendekatan digunakan yang membantu beliau menguruskan KUB sehingga kembali ‘bersinar’ adalah konsep tiada jurang.

“Kenapa perlu ada jurang (sesama pengurusan dan kakitangan). Saya tak boleh terima.

“Saya percaya kepada konsep tiada jurang. Itu satu cara nak uruskan syarikat dengan baik. Jika kita mempunyai hubungan baik dengan kakitangan, secara automatik mereka berasa dihargai dan seterusnya memberi komitmen terbaik untuk syarikat,” katanya.

Konsep tiada jurang yang diamalkan Mohd Nazar dibuktikan dengan kesungguhannya ‘turun padang’ ke lokasi perniagaan KUB. Beliau tidak kisah mengharung lumpur dan banjir di ladang, malah tidak kisah untuk menjenguk dapur restoran makanan segera A&W.

Jika ada peluang, beliau makan bersama-sama kakitangannya tidak kira walau di mana sekalipun, termasuk di bawah pokok.

“Saya percaya, sebagai ketua kita kena turun padang. Tak kira CEO (Ketua Pegawai Eksekutif), MD (Pengarah Urusan) ke apa ‘d’ ke, kita kena turun padang.

“Kita perlu rasa mereka (kakitangan) sebahagian daripada kita. Apabila berlaku begitu, kakitangan akan buat kerja dengan sepenuh hati dan tiada tekanan untuk mereka,” katanya yang mengakui ‘tidak boleh duduk diam’.

Tidak hairan, dek kerana sifat ‘tidak boleh duduk diam’ itu, jika bos lain menanti kunjungan, Mohd Nazar berbuat sebaliknya.

“Bos lain duduk pejabat tunggu kakitangan datang, tetapi saya tak boleh begitu. Rasa ‘kebas’ kalau duduk pejabat saja.

“Sebab itu saya ‘turun padang’ jumpa kakitangan dan lihat bisnes. Itu cara sayalah…,” katanya.

Mohd Nazar juga percaya mana-mana pelapis di dalam syarikat yang bijak dan berpotensi perlu diberi peluang dan dilatih sebaik mungkin.

“Kita perlu latih pelapis yang berkebolehan dalam syarikat. Golongan terbabit perlu diberi pendedahan.

“Sebagai contoh, saya beri peluang kepada pengurus muda yang ada di KUB untuk bercakap ketika mesyuarat. Kalau tersangkut, saya bantu.

“Baru lembaga pengarah boleh tahu ‘perangai’ setiap seorang daripada mereka dan dapatlah kita tahu kekuatan dan kelemahan mereka,” katanya.

Selain menggunakan pendekatan disifatkan sebagai ‘mesra’ itu, pengalaman lebih 30 tahun dalam pengurusan kanan strategi dan operasi di beberapa syarikat sebelum dilantik ke jawatan Pengarah Urusan Kumpulan KUB turut dimanfaatkan, sekali gus memberi kelebihan kepada dirinya mendepani pelbagai cabaran.

Bukan calang-calang pengalaman dimiliki kerana beliau berpengalaman lebih 13 tahun dalam bidang perbankan. Selepas itu beliau beralih ke Cold Storage Malaysia daripada jawatan Ketua Perhubungan Korporat sehingga ke tahap Ketua Eksekutif Kumpulan sebelum menyertai Krystar Management Sdn Bhd, firma perunding pengurusan yang bertanggungjawab menubuhkan rangkaian kedai bebas cukai Eraman untuk Malaysia Airport Berhad.

Dari 1998 hingga 2002, Mohd Nazar berkhidmat di Afrika Selatan di sebuah syarikat yang mengeluarkan bahan binaan dan tersenarai di bursa saham Johannesburg sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Buildmax Ltd. Pada 2003, Mohd Nazar meneruskan kerjayanya di syarikat pembuatan dan jualan baja khusus untuk sektor pertanian, Diversatech (M) Sdn Bhd sebagai Pengerusi dan Penasihat.

Mohd Nazar kemudian menjadi Penasihat kepada Halal Industry Development Corporation dari 2006 sehingga 2007 sebelum dilantik sebagai Pengarah Eksekutif KUB pada 1 Mac 2007 dan seterusnya dilantik sebagai Pengarah Eksekutif & Ketua Eksekutif pada 2 April 2007. Jawatan beliau ditukar kepada Pengarah Urusan Kumpulan pada 24 Disember 2008.

Bagi Mohd Nazar, pengalaman selama lebih 30 tahun itu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin, terutama menghindarkan apa saja perkara yang tidak perlu dilakukan.

“Pengalaman diperoleh bukan saja membantu daripada segi berdepan pelbagai situasi, tetapi paling penting pengalaman diperoleh mengajar kita untuk menghindar apa saja perkara yang tidak perlu dilakukan,” katanya.

Tidak lokek berkongsi pengalaman lebih 30 tahun itu, Mohd Nazar bercerita bagaimana beliau meredakan suasana tegang di kilang besi di Afrika Selatan ketika bertugas di negara itu satu ketika dulu.

“Ketika itu pengurusan terpaksa memecat seorang penyelia warga Afrika. Memandangkan kesatuan sekerja mereka memang kuat, keputusan itu menyebabkan mereka marah.

“Ketika pulang selepas makan tengah hari, saya lihat semua pekerja berkumpul sambil berjoget. Memang saya terkejut kerana jika dalam keadaan sedemikian, itu tandanya mereka buat protes,” katanya.

Menurut Mohd Nazar, hubungan baik yang terjalin antara beliau dengan pekerja menerusi pendekatan ‘mesra’ digunakannya berjaya menyelesaikan masalah itu.

“Selepas mereka selesai membuat protes, saya kumpulkan mereka. Saya buat ‘barbeque’ dan mendekati serta memahami masalah mereka. Penyelia itu tetap dibuang dan mereka akur,” katanya.

Sebagai ketua eksekutif di syarikat berkenaan, selain berkemampuan menangani masalah seperti itu, Mohd Nazar boleh disifatkan serba boleh dan bertuah kerana berjaya menguruskan pelbagai jenis ‘manusia’.

“Jika di sini (Malaysia) ada tiga bangsa saja, tetapi ketika di Afrika saya berdepan pelbagai jenis bangsa dari seluruh dunia. Yang ‘orang putih’, ada Yahudi, Portugis, Greek dan macam-macam lagi.

“Ada juga India Muslim dan Melayu Afrika. Pengalaman menguruskan mereka memang sangat berharga dan ia membantu saya dalam menguruskan KUB ketika ini,” katanya.

Selain pengalaman di Afrika, Mohd Nazar bercerita bagaimana beliau bertemu seorang pemegang saham Cold Storage Malaysia Berhad ketika dilantik menjadi ketua eksekutif kumpulan syarikat itu.

“Ketika itu usia saya 37 tahun. Seorang pemegang saham berusia 70 tahun dari Hong Kong bersalaman dengan saya. Dia kata: “orang muda, saya tak tahu sama ada mahu mengucapkan tahniah atau takziah kepada awak (di atas pelantikan sebagai ketua eksekutif kumpulan).”

“Rasa lucu ada, bingung pun ada. Mungkin kerana usia saya masih muda menyebabkan lelaki itu berkata sedemikian rupa. Namun saya tidak kisah kerana saya anggap ia sebagai cabaran untuk membuktikan kemampuan saya,” katanya.

Menurut Mohd Nazar, ketika dilantik sebagai pengarah eksekutif dan ketua eksekutif (sebelum ditukar kepada pengarah urusan kumpulan) KUB beliau turut berdepan situasi sama.

“Ramai bersalaman sambil mengungkapkan ‘semoga berjaya’. Banyak kali juga saya terima ungkapan begitu.

“Mesej yang saya dapat daripada ungkapan itu membayangkan mustahil untuk saya mengembalikan kegemilangan KUB, sekali gus melontarkan cabaran kepada saya. Saya sahut cabaran itu dan Alhamdulillah, saya berjaya melakukannya,” katanya.

Tidak segan bercerita zaman mudanya, Mohd Nazar mengakui pernah mengambil upah mengangkat beg pengunjung di sebuah hotel di Pulau Pinang. Betapa gigihnya Mohd Nazar, ketika itu beliau melakukan dua kerja pada satu masa.

“Pekerjaan pertama saya selepas tamat pengajian di ITM (UiTM) adalah juruaudit malam. Habis saja peperiksaan akhir, saya naik kereta api untuk balik kampung. Saya bekerja sebagai juruaudit malam di sebuah hotel di Pulau Pinang bermula dari jam 11 malam hingg 7 pagi sampai tak berpeluang untuk berkawan.

“Pada masa sama, saya menyamar sebagai tukang angkut beg pengunjung hotel. Dapatlah ‘tips’ RM2, lepaslah makan nasi kandar. Saya tak malu (buat kerja itu), buat apa nak malu,” katanya.

Mohd Nazar turut selamba bercerita bagaimana beliau mengisi masa terluang hujung minggu dengan belajar membuat batu blok.

“Ketika bekerja di bank, saya lihat pekerja kontrak memasang batu blok. Kerana minat mahu belajar membuatnya, tiba saja hujung minggu saya belajar buat batu blok.

“Susah juga rupa-rupanya. Kadangkala belum kering batu blok yang dibuat, dilanggar ayam, habis hancur,” katanya yang turut pernah berniaga menjual bawang di pasar malam.

‘Warna-warni’ yang melatari kehidupan Mohd Nazar nyata membuatkan beliau berani menanggung risiko dan tidak gentar mencari peluang baru untuk mencapai tahap lebih baik.

Ia dapat digambarkan menerusi kerjayanya yang tidak terhad kepada sebuah syarikat.

“Jika kita mahu maju, jangan takut untuk keluar. Jika dapat peluang lebih baik, ambil saja.

“Prinsip saya mudah, tak ada benda yang kekal. Kita masuk dalam sesebuah organisasi kita beri 100 peratus, tetapi tidak akan ada yang kekal. Kalau kita beri untung kepada syarikat sampai berbilion sekalipun, sampai masanya kena keluar juga,” katanya.

Bagi Mohd nazar, jika diikutkan hati dia mahu berehat dan tidak mahu menyambung kontraknya, tetapi apabila difikirkan semula ia sesuatu yang tidak adil.

“Penat juga, rasa tak nak (sambung kontrak) tapi bila fikirkan tak adillah kalau tak sambung kontrak. Saya perlu meneruskan apa yang dirancang demi kelangsungan syarikat ini.

“Kita kena bagi balik (sumbangan) untuk sokongan yang diberi sama ada daripada pihak pengurusan, kakitangan mahupun pemegang saham, termasuk warga emas yang bersama KUB sejak zaman koperasi dulu,” katanya ikhlas.

PROFIL

NAMA: Datuk Mohd Nazar Samad
USIA: 54 tahun
ASAL: Jelutong, Pulau Pinang
JAWATAN: Pengarah Urusan Kumpulan KUB Malaysia Berhad
PENDIDIKAN: Diploma Perakaunan Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara – UiTM), Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Perniagaan, Universiti Oklahoma City, Amerika Syarikat
ANUGERAH: Anugerah Keusahawanan Cemerlang Asia Pacific Entrepreneurship (APEA) Awards 2009
ISTERI: Datin Marina Ismail
ANAK: Muhammad Afiq (17)

credit to Hmetro

Related Posts with Thumbnails
Jom Klik LIKE

Comments

comments

Write a comment

*
CommentLuv badge