Featured Posts

Mirlme Blog Rss

Infinity Downline & Login Facebook Dapat RM 100 Haram!

Posted on : 04-03-2010 | By : mirlme | In : Blog

0

Bertalu-talu orang bertanya berkenaan skim perniagaan Infinity Downline dan ada juga yang menamakannya dengan ‘Login Facebook dapat RM100 hari-hari‘. Sebenarnya saya amat skeptic dengan skim-skim sebegini malah amat muak lagi jemu untuk menelitinya kerana pada kebiasaannya hasil penelitian akan menunjukkan semua itu adalah sama sahaja cuma diubah sedikit di sana dan sedikit di sini. Oleh kerana itu, saya tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbang melihat betapa mudahnya umat Islam di Malaysia dikelirukan dengan skim seperti ini, padahal telah berkali-kali dijelaskan konsep dan asas untuk menilai halal dan haram dalam skim sebegini.

Padahal, helah pihak-pihak penganjur skim tersebut amat jelas dan terang. Pun begitu mereka masih mampu mengelirukan umat Islam kita. Saya berdoa agar kita semua mampu lebih rajin untuk berfikir dan lebih cekap dalam memperbezakan antara skim-skim sampah dan emas permata.

Bagi menunaikan amanah Allah, selaku khalifah Allah di atas muka bumi, untuk menyeru kepada kebaikan, melarang kemungkaran, saya berusaha untuk mencari celah-celah waktu yang ada untuk diwaqafkan kepada umat Islam bagi menyediakan jawapan bagi soalan skim Infinity Downline yang ditanyakan ini.

Beberapa perkara perlu dikaji dalam hal ini dan saya akan nyatakan secara ringkas findings dan pandangan saya. Oleh kerana skim ini menawarkan sesuatu yang agak mudah, maka tidak sukar untuk memahaminya. Secara ringkas dan padat adalah seperti berikut:-

1. Latar belakang syarikat dan web

Menyemak website utama Infinity Downline (selepas ini digunakan singkatan ID) melalui ‘whois’, seorang pengkaji persendirian mendapati, web ini tidak menyertakan info yang mencukupi tentang pemiliknya. Berikut adalah hasil kajiannya.

Domain “Whois”
The Whois information for a website lists the owner and their contact information. The owner of “Infinity Downline” has purposely made their Whois information private. While not always a bad thing, this could mean they have something to hide. (rujuk http://www.imreportcard.com/biz-opps/infinity-downline)

Meneliti web utama ID juga menunjukkan kita tidak mempunyai sebarang akses kepada nama pencipta dan pengurusan penuh syarikat ID, malah sebarang komunikasi juga hanya melalui kotak khas soalan yang disediakan. Ini jelas ciri sebuah skim cepat kaya yang sentiasa berjaga-jaga dari mendedahkan identiti kepada pihak berkuasa.

Penilaian saya: Ia jelas satu unsur gharar yang menjadikan skim ini haram pada pandangan Islam. Manakan tidak, sekiranya web tersebut ditiadakan, semua sistem yang digunapakai oleh ahli dalam menyemak bayaran dan lain-lainnya turut hilang. Justeru mendedahkan diri kepada situasi perniagaan sedemikian adalah ditegah di dalam Islam.

2. Asal dan perkembangan syarikat

Memang benar, kelihatan sistem ini berasal dari USA. Statistic www.alexa.com juga menunjukkan peratusan teramai pelawat ke web ID datangnya dari USA, diikuti dengan negara yang dipenuhi oleh pecinta skim cepat kaya iaitu Malaysia.

Justeru dengan fakta ini, jelas skim ini memang sedang mendapat tempat di kalangan ramai di seluruh dunia, sehingga jika dicari berkenaannya di google dan yahoo, majoritinya memuja memuji system ini sebagai sistem termudah mendapatkan duit.

Penilaian saya : Tahap tersebar skim ini di seluruh dunia menunjukkan tanda positif tetapi ia sama sekali tidak menunjukkan bahawa ia halal di sisi Islam. Skim cepat kaya Bernard Mardoff yang bernilai USD 5 billion lebih kelihatan reliable, tetapi ia tetap scam dan sebuah skim cepat kaya apabila ia tidak berniaga barangan sebenar dan hanya memusing-musingkan kentungan dari orang bawah yang baru masuk kepada orang atas sistem piramidnya.

Justeru, pertumbuhan skim ini tidak memberi sebarang impak positif kepada penilaian hukum. Namun ia juga tidak memberikan impak negatif kepadanya. Oleh itu, penilaian hukum terletak kepada aspek-aspek lain dan perkembangannya di seluruh dunia dan disertai ramai TIDAK SAMA SEKALI boleh membuktikan ia adalah sebuah system yang halal di sudut hukum Islam, dan tidak juga mampu membuktikan ia legitimate di sisi undang-undang.

Penilaian saya:

Menurut pandangan saya, sistem komisyen dalam skim ID ini jatuh dalam bentuk riba. Ini adalah kerana apabila produk tidak lagi menjadi ukuran dan fokus, bayaran yuran yang diberikan hanyalah sebagai jalan untuk meraih wang tunai yang lebih banyak pada masa hadapan melalui system ini. Hal ini dijalankan melalui system system reverse 2 up.

Ia merupakan satu bentuk Riba Nasiah dan juga Riba Al-Fadl. Hal yang sama juga hukumnya bagi perusahaan mana-mana skim MLM atau affiliate yang tidak mempunyai produk bersungguh dan berkualiti, sebaliknya produk miliknya seperti ruangan laman web yang tidak berfaedah buat kebanyakkan orang, ebook , video, audio yang tidak relevan kepada pengguna khussunya yang tidak mahir bahasa Inggeris (bagi kes ID semua produk sampahnya di dalam bahasa Inggeris), atau apa jua produk yang hanya dijadikan sebagai alasan pembelian.

Ini jelas, pada hakikatnya, ahli bukannya ingin membeli produk itu, tetapi untuk menyertai rangkaian serta memperolehi wang darinya. Ia juga termasuk dalam yang diharamkan. Hal membeli produk tidak benar dengan niat utama memasuki rangkaian dan mendapat untung dari rangkaian ini telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah Arab Saudi no 15/192-193.

Sebagaimana juga disebut di atas, ia juga mempunyai unsur judi melalui yuran bulanan peserta. Yuran ini mendedahkan peserta kepada dua kemungkinan iaitu RUGI (= kalah), atau terus mendapat komisyen lumayan dari downline ( = Menang judi).

Tidak dinafikan sistem komisyen ini boleh menghasilkan wang dan duit yang banyak kepada upliner khususnya apabila masih belum ramai yang menyertainya, namun itu bukanlah fokus artikel ini ditulis.

Tulisan ini memfokuskan kepada sama ada wang yang boleh diperolehi itu merupakan sumber dan cara yang menepati hukum Syariah atau tidak, dan ternyata ia TIDAK PATUH kepada undang-undang muamalat Islam.

KESIMPULAN AKHIR

1) Latarbelakang syarikat ID diragui dan bermasalah.

2) Produk ID adalah tiruan, tidak punyai nilai sebenar, bercampur intipati yang haram dan tidak diperlukan oleh majority ahli. Ini menjadikan penyertaan ke skim ID adalah kerana inginkan pulangan melalui system reverse 2 up.

3) Akibat produk tidak berkualiti, tidak relevan dan yang dipromosi adalah lebih kepada sistem komisyen, setiap yuran yang dibayar adalah dengan niat dan hasrat untuk mendapat lebih banyak keuntungan tanpa sebarang jual beli sebenar, tatkala itu riba al-Fadl dan An-Nasiah berlaku. Ini adalah kerana komisyen disandar kepada yuran dan bukan jualan produk.

4) Yuran bulanan USD 25 menjatuhkan ia di dalam unsur maysir atau perjudian.

Oleh itu, menurut penelitian saya, umat Islam MESTI DIHARAMKAN dari menyertai system ini. Sebarang promosi dan membiarkan promosinya betapak di web atau facebook anda juga adalah diharamkan di dalam Islam atas asas larangan bantu membantu dalam perkara maksiat dan dosa.

Adalah diharapkan umat Islam khususnya bangkit dari tidur dan mimpi untuk mendapatkan untung tanpa usaha yang setimpal. Dalam Islam setiap keuntungan mestilah bersumber dari penjualan sesuatu aset atau dari usaha sebenar terhadap sesuatu aset, bukan hanya untung atas angin secara goyang kaki atas penyertaan orang ke dalam sesuatu sistem pyramid.

Semoga kita semua diberi pembukaan hati dan minda untuk tidak menyertai, berhenti dan menyedarkan yang lain. Namun sekali terjebak, kegilaan kepada wang, harta serta sistem cepat kaya adalah ibarat arak yang memabukkan, tidak mudah menyedarkan mereka tatkala sedang mabuk, peluang dan ruang untuk yang menasihat dicerca adalah besar, demikianlah tabiat orang mabuk apabila dinasihat. Justeru bersabar kalian dalam menasihati mereka, semoga mereka lekas sedar dan sempat diselamatkan sebelum kemalangan berlaku.

Akhir sekali, tulisan ini bukanlah sebuah fatwa, ia hanya nasihat dan pandangan. Jika ada yang tidak bersetuju dengannya, terpulang kepada saudara dan saudari untuk menolaknya. Tiada sesiapa yang memaksa untuk menerimanya. NIat saya hanyalah untuk mebantu dan menyelamatkan kita semua dari murka Allah. Justeru tidak perlu untuk mencaci maki di web ini.

SUMBER dan sambungan di

http://www.zaharuddin.net/index.php?…=915&Itemid=72

Related Posts with Thumbnails
Share and Enjoy:
  • Print
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google Bookmarks
  • Blogplay

Write a comment