Featured Posts

Mirlme Blog Rss

Ibadat Zakat Menyucikan Harta

Posted on : 10-08-2009 | By : mirlme | In : Blog

0

ANTARA perintah yang difardukan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya ialah ibadat zakat sebagai bukti kecintaan kita kepada-Nya melebihi kecintaan kita kepada segala harta dan kenikmatan dunia yang sementara.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 261: “Perumpamaan (derma atau nafkah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai, setiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.

“Allah melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya, dan Allah maha luas (kurniaan-Nya), lagi maha mengetahuinya.”

Banyak amaran keras dinyatakan dalam al-Quran dan hadis terhadap orang Islam yang enggan mengeluarkan zakat. Dalam surah at-Taubat ayat 34-35, Allah SWT berfirman:

“(Ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab yang pedih.

“(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, iaitu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu.”

Oleh itu, pastikan harta yang kita miliki seperti emas dan perak, hasil pendapatan seperti gaji, upah, elaun, hasil sewaan atau perniagaan yang diusahakan, wang simpanan di bank atau di tempat tersembunyi, pelaburan saham serta hasil jualan dari tanaman disucikan dengan menunaikan zakat apabila mencukupi syarat yang ditetapkan.

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir dan orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya.

“Dan orang mualaf yang dijinakkan hatinya (dengan Islam), dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang musafir (yang terputus bekalan) dalam perjalanan.

“(Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. (Ingatlah) Allah maha mengetahui lagi maha bijaksana,” (at-Taubat: ayat 60).

Related Posts with Thumbnails
Share and Enjoy:
  • Print
  • Digg
  • Sphinn
  • del.icio.us
  • Facebook
  • Mixx
  • Google Bookmarks
  • Blogplay

Write a comment