Featured Posts

Mirlme Blog Rss

Hezle Mohd Helan – Pengarah Urusan Hez Communications Sdn Bhd (HezComm) dan Ketua Eksekutif Imagika Sdn Bhd

Posted on : 10-08-2009 | By : mirlme | In : Blog

0

NAMA: Hezle Mohd Helan

UMUR: 34 tahun

LAHIR: 7 Ogos 1975 di Petaling Jaya, Selangor

JAWATAN: Pengarah Urusan Hez Communications Sdn Bhd (HezComm) dan Ketua Eksekutif Imagika Sdn Bhd

PENDIDIKAN: Sekolah Agama Maahad Hamidiyah, Kajang, Selangor; Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jasin, Melaka; Maktab Sains Mara Kulim, Kedah; Ijazah Komunikasi Massa Universiti Sains Malaysia (USM) dan Ijazah Lanjutan Komunikasi Massa, University Of Minnesota, Amerika Syarikat (AS)

ISTERI: Afza Zuliana Abd Jalil

TARIKH BERKAHWIN: 31 Mei 2009

SEWAKTU zaman kanak-kanak, dia pernah mempunyai rakan imaginasi yang dianggap benar-benar wujud menyerupai watak Mickey Mouse dan sering berbual dengan ‘rakan baiknya’ pada masa lapang.

Apabila umurnya meningkat remaja, dia masih berkawan baik dengan rakan imaginasinya sebelum ia beransur-ansur pudar apabila berpeluang melawat taman tema terbesar di dunia iaitu Disneyland di Amerika Syarikat (AS).

Lawatan berkenaan tidak habis di situ kerana tidak lama kemudian dia mendapat ilham untuk membina sebuah taman tema sama di belakang kediamannya di Petaling Jaya. Namun, ia tidak dapat dilaksanakannya buat masa sekarang atas pelbagai faktor.

Atas sebab itu Hezle Mohd Helan, 34, berjinak-jinak dalam bidang produksi dengan menubuhkan Hez Communications Sdn Bhd (HezComm) dan Imagika Sdn Bhd (Imagika) dengan dia selaku Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif di dua syarikat itu.

“Sebagai anak ketiga, saya menganggap diri saya berdepan masalah dikenali sebagai ‘sindrom anak tengah’ yang kononnya tidak mendapat perhatian penuh daripada keluarga walaupun ia berlaku sebaliknya.

“Kerana terasa mengalami sindrom itu, saya mula melakukan banyak perkara untuk menarik perhatian anggota keluarga lain. Tamat pengajian, saya terus bekerja dan mengumpul modal untuk membuka perniagaan,” katanya.

Akhirnya, impian membuka perniagaan sendiri tercapai pada 2003 apabila HezzComm ditubuhkan manakala Imagika pula menyusul lima tahun kemudian.

HezzComm menjurus kepada penerbitan audio visual seperti iklan, penyiaran televisyen serta filem manakala Imagika pula bagi membina laman web, pengurusan acara dan jualan barangan bertanda dagangan.

“Saya masih ingat dibawa ayah (Mohd Helan Abu, 66) dan ibu (Khatijah Churaimi, 63) ke Disneyland ketika berumur 18 tahun.

“Saya rasakan impian jadi kenyataan kerana selepas terlalu lama berinteraksi dengan rakan imaginasi iaitu Mickey Mouse, akhirnya saya berjaya bertemu dengannya,” katanya.

Sejurus kembali, Hezle membulatkan tekad untuk berjaya dan belajar dengan rajin bagi memastikan cita-cita ketika di Disneyland tercapai.

Tamat pengajian lanjutan di AS, beliau mula bekerja di beberapa syarikat produksi sebelum mengumpul modal dan akhirnya berjaya membuka dua syarikat berkenaan.

“Sejurus kembali ke tanah air dan memulakan perniagaan, saya seolah-olah menjadi ‘penggila’ robot. Apa saja berkaitan dengannya pasti menarik perhatian saya.

“Saya tidak mendapatkan pelajaran berkaitan bidang robotik secara formal, sebaliknya belajar daripada pakar serta mentelaah bahan bacaan berkaitan bidang itu,” katanya.

Dengan sedikit ilmu di dada, Hezle mula mengorak langkah mencipta robotnya dan apabila mendapati ia mendatangkan kesan positif terhadap diri serta orang sekeliling, Kelab Kaki Robot ditubuhkan pada penghujung 2008 dengan beliau selaku presidennya.

Kegilaannya terhadap bidang robotik tidak terhenti setakat itu saja, malah membawanya ke alam baru iaitu mencipta robot bersaiz manusia dewasa dengan harapan ia akan dihantar ‘berperang’ di layar perak.

“Kegagalan pertama saya ialah pada 2001 apabila skrip dihantar berkaitan drama sains fiksyen dengan robot sebagai watak utama ditolak mentah-mentah atas alasan ia tidak mengikut arus perdana yang mahu kisah cinta tragis selain kekeluargaan pada masa itu.

“Bagaimanapun, kegagalan itu tidak dijadikan alasan untuk berhenti, sebaliknya saya cantikkan lagi skrip hinggalah akhirnya ia berjaya dijadikan asas penghasilan sebuah filem aksi sains fiksyen yang bakal ditayangkan tidak lama lagi, dengan dua robot ciptaan saya serta beberapa rakan bakal menjadi adi wira dan saingannya,” katanya tersenyum puas.

Beliau kini dalam rangka mengeluarkan sendiri barangan permainan robotik dan rundingan peringkat akhir berjalan dengan sebuah syarikat luar negara bagi menghasilkannya secara besar-besaran.

Berkaitan isteri tercinta, Hezle tidak segan silu memaklumkan, beliau mula jatuh cinta terhadap wanita itu selepas melihatnya cukup dedikasi dalam melaksanakan setiap tugasan diamanahkan.

“Isteri, Afza Zuliana Abd Jalil, 31, mulanya bertugas di Imagika dan dia menyiapkan banyak tugasan diamanahkan dengan cemerlang. Saya memang cerewet memilih teman wanita dan semua ciri yang saya inginkan ada padanya.

“Kami mula serius pada hujung 2008 sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga pada 31 Mei lalu. Saya tidak kisah bertugas di bawah satu bumbung kerana walaupun memegang status suami isteri, kami tetap jalankan tanggung jawab pejabat secara profesional,” katanya.

Dalam masa sama mereka kerap berbincang, termasuk sebelum keluar rumah untuk ke pejabat. Ini kerana, Hezle berpendapat, syarikat ditubuhkan baru beroperasi dan tidak wajar membuang masa kerana kekukuhan perniagaan hanya dapat dicapai dengan kerja keras.

Hezle turut memaklumkan, ibu bapanya pernah membantah keinginannya untuk menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa, tetapi beliau tetap berdegil kerana minat mendalam.

“Saya katakan kepada mereka, saya yakin akan mampu melakukan perkara terbaik dalam hidup dengan mengikuti pengajian berkenaan.

“Kini, mereka antara individu yang gembira dengan kejayaan kecil saya, malah menjadi penyokong utama dalam banyak perkara, khasnya kerjaya. Saya pasti, doa restu mereka turut menjadi resipi utama dalam kejayaan dikecapi kini,” katanya.

Related Posts with Thumbnails
Jom Klik LIKE

Comments

comments

Write a comment

*
CommentLuv badge