Teenager Life | Student Life | Business Life | Blogger Life

Dr Azizan Osman – Ketua Pegawai Eksekutif Richworks Resources

MULANYA sekadar suka-suka dan minat, namun siapa sangka daripada tabiat itu, ia mengubah kehidupan dan status Dr Azizan Osman, 35, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Richworks Resources

Syarikat yang ditubuhkan tahun lalu itu menyediakan latihan atau kaedah mengenal diri melalui tarikh lahir, selain mengetahui potensi atau aura diri untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian dan kerjaya yang ingin diceburi.

Mungkin bunyinya pelik apabila kaedah itu seperti fenomena yang melanda negara apabila lebih 10,000 orang mengikuti seminar kendalian Azizan walaupun belum sampai setahun operasi.

Kejayaan berkenaan kebanggaan kepada anak jati Melaka itu, malah beliau berhasrat mensasarkan lebih ramai rakyat negara ini mengenali diri melalui kaedah terbabit.

“Program ini bukan sekadar membantu mengenali potensi diri tetapi boleh dipraktikkan dalam pekerjaan, memilih jodoh, menyambung pelajaran dan pelbagai lagi,” katanya.

Sebenarnya, melihat latar belakang anak keempat daripada lima beradik itu, beliau bermula daripada minat apabila mengetahui teknik mengenal diri melalui tarikh lahir sejak di tingkatan tiga.

“Saya mengetahui teknik ini melalui bacaan. Mulanya tidak serius sehingga saya bertemu pakar bidang ini, T Harve Eker dari Kanada.

“Dia mentor saya dan untuk belajar dengannya, bayarannya bukan murah dan saya berulang-alik dari sini ke Singapura kerana kelas diadakan di sana,” katanya.

Sebelum menubuhkan syarikat sendiri, Azizan bekerja di pelbagai syarikat tetapi ditakdirkan rezekinya dalam bidang metafizik, tidak sampai setahun beliau mengecapi kejayaan dan tidak keterlaluan dikatakan kini berstatus jutawan.

Begitupun, bertemu dan berbual dengannya, beliau tidak sombong atau bongkak, jauh sekali meninggi diri meskipun kini dalam kelas tersendiri.

Menurutnya, beliau bukan orang senang dan disebabkan ‘pendidikan’ itu, beliau menyedari siapa dirinya.

“Saya masih ingat pesanan emak masa saya kecil. Pernah minta dibelikan baju taekwando dan kereta kawalan jauh, emak kata, kalau nak beli, bila besar cari duit dan beli sendiri.

“Ketika itu emak dan ayah tak mampu memenuhi kehendak kami kerana emak suri rumah, ayah pula berkhidmat di Jabatan Pengairan dan Saliran. Kami kerap berpindah kerana mengikut ayah,” katanya.

Begitupun, kata Azizan, beliau ‘tabik’ dengan bapanya, Osman Yusop, yang berfikiran jauh apabila menghantar mereka adik-beradik ke sekolah Cina.

“Awalnya memang susah bersekolah di sini kerana kita tidak faham Bahasa Cina. Bagaimanapun, disiplin dan suasana belajar banyak mengubah dan membentuk diri saya.

“Kerja sekolah tak pernah habis dan disiplin ketat. Disebabkan itu, saya pernah dapat nombor satu dalam kelas dan pernah juga dapat nombor terakhir,” katanya yang pernah menjadi juara pertandingan kaligrafi Cina peringkat kebangsaan.

Azizan berkata, meskipun ibu bapanya tidak pernah terbabit dalam perniagaan, lain pula dirinya apabila minat berniaga itu ada.

“Saya mula ceburi bisnes ketika di UiTM Segamat apabila membekalkan bantal dan kalkulator kepada pelajar baru. Bila tiba pendaftaran, saya sewa satu lori penuh dengan bantal.

“Selain itu saya ambil baju pelajar dan hantar ke kedai dobi di pekan Segamat. Kemudian saya upah rakan menjual nasi lemak dan nasi goreng yang diambil daripada orang lain,” katanya.

Selepas tamat pengajian, Azizan bekerja di RHB Securities dan pada masa sama menjalankan aktiviti pelaburan.

Begitupun, kegawatan ekonomi yang melanda 1997 menyebabkan pelaburan RM100,000, termasuk wang daripada rakan, mengalami kerugian.

Tidak sampai dua tahun bekerja, Azizan mengambil keputusan berhenti kerana mahu bekerja sendiri.

“Sebab berhenti kerana saya berfikir berapa lama boleh bekerja di sini. Selepas itu saya buat pembungkusan produk herba di Melaka. Modal tiada langsung, namun bernasib baik kerana syarikat berkenaan beri deposit RM15,000,” katanya.

Ketika perniagaan mula berkembang selepas dua tahun beroperasi, syarikatnya berdepan masalah apabila tiada modal pusingan dan pada 1999, Azizan terpaksa menutup operasi syarikat.

“Selepas berhenti, saya pinjam kereta ayah, menghantar barangan yang dipesan orang. Saya cari juga kerja di tempat lain dan pada 2001 saya diterima bekerja di syarikat Cobra Group iaitu syarikat pengiklanan dan pemasaran antarabangsa cawangan Melaka,” katanya.

Di syarikat multinasional itu, Azizan bermula dari bawah iaitu menjual kad kredit sehingga dilantik pengurus projek yang menguruskan beberapa syarikat besar.

Pada 2004, Azizan ditukarkan ke Kuala Lumpur dan cabaran mula dirasai sehingga beliau menitiskan air mata.

“Bulan pertama pindah ke KL, saya tidak cukup duit kerana suasana masih baru dan belum berjaya membuat jualan seperti ditetapkan. Saya menangis dalam kereta kerana tidak cukup duit bayar sewa rumah dan kad kredit,” katanya.

Begitupun, dugaan itu tidak mematahkan semangatnya, malah usaha keras Azizan berjaya mengangkat dirinya sehingga dilantik ke jawatan Pengurus Kanan pada 2005.

“Sebagai pengurus, antara tanggungjawab saya ialah menemuduga dan melatih kakitangan baru. Dalam temuduga, saya praktikkan kaedah tarikh lahir dan 85 ke 95 peratus tepat.

“Pada April tahun lalu saya ditawarkan jawatan tinggi dan diberi pilihan ke Indonesia atau Hong Kong tetapi apabila berfikir balik, saya kini pada tahap maksimum dan terdetik juga apa sumbangan saya kepada bangsa,” katanya.

Pada Jun tahun lalu, Azizan mengadakan kelas rahsia tarikh lahir di Bukit Bintang hanya membabitkan 12 orang dengan kos RM299 seorang.

Aktiviti sampingan itu dapat diketahui syarikat terbabit, sekali gus memberi kata dua.

“Saya diberi pilihan sama ada untuk bekerja di syarikat itu atau meneruskan aktiviti saya. Selepas berfikir, saya berhenti kerja Jun tahun lalu dan memberi tumpuan sepenuhnya dalam program ini,” katanya.

Sejak itu, nama Azizan Osman semakin dikenali dan setiap programnya mendapat sambutan. Daripada belasan yang hadir pada mulanya, kini mencecah ribuan orang hanya untuk mendengar celotehnya.

PROFIL

NAMA: Dr Azizan Osman

USIA: 35 tahun

LAHIR: 14 November 1974 di Kota Bharu, Kelantan

JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif Richworks Resources

PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Pei Chun II, Pontian, Johor; Sekolah Menengah Pei Fong, Melaka; Diploma Analisa Pelaburan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor; Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Sarjana Pemasaran University of Florida; Ijazah Doktor Falsafah Sains Metafizik, Gordon University, Florida

ANUGERAH: Platinum Awards 2004/2005 daripada Cobra Group, England

credit to Metro

Related Posts with Thumbnails

9 Responses to “Dr Azizan Osman – Ketua Pegawai Eksekutif Richworks Resources”

  1. sahabat says:

    elakkan lebih banyak penipuan oleh azizan http://www.terjah.com/v2/news.php?readmore=490

  2. amil says:

    Mohon diperbetulkan, Richworks Resources adalah sebuah partnership dan bukannya syarikat sdn bhd. Terima kasih.

  3. ismail says:

    Hanya syarikat Sdn Bhd atau Berhad saja yang layak menerima pakai jawatan CEO ( Ketua Pegawai Eksekutif ) dan Managing Director (Pengarah Urusan )seperti diperuntukkan oleh SSM. Tangggungjawab seorang CEO amat besar dan luas skop etika kerjanya. Jawatan yang layak untuk syarikat taraf perseorangan dan perkongsian hanya lah Pengurus sahaja. Sila rujuk kepada pegawai SSM berhubung perkara ini.

  4. SS says:

    Betul tu sahabat, banyak cerita , ramai yg dah terkena

  5. mimi says:

    Wahai sahabat sekelian sekadar nak tanye, adakah anda telah memasuki atau mempelajari tentang apa yg di ajar oleh dr azizan. kalau sekadar mendengar dari rakan yg lain ia nye belum tentu benar. jadi lebih baik sahabat mengikuti ape yg di ajar dan cuba terima yg positif.. sekian dari saya sahabat anda..

  6. manja says:

    Ya betul…saya adalah antara peserta program azizan osman..Apa yang diajar telah saya amalkan dan alhamdulillah berhasil..

    Pada pandangan saya ..orang yang tak berjaya adalah kerana mereka telah belajar dari azizan osman tetapi tak amalkan dan masih ada rasa was-was..

  7. myazara says:

    btui 2…sy & seluruh family sy dah join kursus dr azizan part 1 dl kt ipoh..mmg best giler, part 2 km nk jion jgk..lantak la korg nk percaya @ tak sbb itu hak msg2..kt skrg hidup dlm zaman informasi

  8. arelya says:

    knp melayu masih mundur berbanding kaum lain? sikap hasad yg byk menyelubungi mereka… aku hrp lebih ramai dr azizan lain yg muncul membantu bangsanya berbanding dr 2 yg mempersoalkan kredibiliti pelbagai org. Dr azizan tak terjejas sedikitpun jika tak buat kursus2 itu.. tetapi apa akan jd dgn kita jika tiada siapa yg boleh menegur kekurangan atau kelebihan kita..???? +Ve kan minda anda dan mari bangkitkan kejayaan bangsa bersama2..

  9. kak mon says:

    Ini lah orng kita…bila tengok orang lain lebih popular dan mula senang ada aje orang yang dengki dan memburuk2kan nama baik dia. Apalah salah dia kat awak , yang kata dia mcmtu? dr dah tipu awak ke?. awak dah ikut seminar dr ke?.. kalau dah tak suka tu jgn lah cuba pengaruh orng lain pulak ..tak baik tau… dr dah ckp jgn percaya ckp dia… dia ckp cuba dulu..

Leave a Reply