Featured Posts

Mirlme Blog Rss

Kisah Kejayaan Sulaiman Yusof – Pengarah Urusan Feeko Haus Sdn Bhd

Posted on : 19-07-2010 | By : mirlme | In : Blog

Tags: , ,

0

MENGIMPIKAN kehidupan semewah jutawan terkenal Amerika Syarikat, Donald Trump membuatkan dia tekad mengubah nasib keluarga yang ketika itu hanya bekerja sebagai penjual insurans. Menyedari kehendak dan cita rasa tinggi tidak dapat dipenuhi dengan makan gaji saja, Sulaiman Yusof, 36, mula berfikir mahu memulakan perniagaan kerana itu saja cara yang dirasakan mampu mengubah cara hidup menjadi lebih terjamin.

Pernah bekerja sebagai penjual mancis di kaki lima, penjual cakera padat, aksesori perak dan penjual kuih di pasar Ramadan menjadikan dirinya lebih yakin selain menganggap sebagai latihan komunikasi sebelum melahirkan produk sendiri. Mengakui bukan mudah mahu berjaya, dia tidak menoleh ke belakang sebaik menemui lubuk perniagaan yang pada waktu itu tidak terfikir di minda kebanyakan Bumiputera.

“Saya dapat ilham untuk membuat perniagaan ice blended ini selepas melihat rakan membuatnya ketika bertandang di rumahnya. Waktu itu tidak terlintas di fikiran untuk buat secara besar-besaran memandangkan perniagaan sebelum ini hanya bertahan tidak lebih enam bulan.

“Namun berbekalkan azam dan keinginan tinggi, saya cuba mengkomersialkan ice blended ini mengikut cita rasa dan resipi sendiri,” kata pengusaha ice blended jenama Feeko Haus Sdn Bhd ini.

Menurutnya, sebelum Feeko berada pada tahap sekarang pelbagai cabaran dilalui, terutama persepsi masyarakat terhadap tanggapan Bumiputera yang tidak akan berjaya apabila memulakan sesuatu perniagaan kerana tiada kesungguhan.

“Pada awalnya saya hanya menggunakan wang sendiri sebagai modal sebanyak RM500 untuk menghasilkan serbuk ice blended dan dijual kepada orang ramai dengan harga RM18 sekilo gram.

“Tidak cukup dengan itu, saya turut mempromosikan produk ini di kantin sekolah, restoran dan memberi secara percuma jika ada program tertentu sebagai langkah awal memperkenalkan produk kepada orang ramai.

“Waktu itu kehidupan memang susah. Bayangkan saya tiada satu sen pun duit kerana hasil jualan yang diperoleh digunakan untuk modal pusingan.

“Sampai satu ketika, sewaktu menghantar tempahan pelanggan di Bandar Tun Razak saya dan isteri hanya menunggu wang yang akan dibayar oleh pelanggan berkenaan untuk mengisi minyak kereta dan makan tetapi kecewa kerana pelanggan membayar dengan memberikan cek,” kata ayah kepada lima cahaya mata ini.

Pun begitu, dia tetap menganggap segala keperitan yang dilalui sebagai kenangan terindah dalam hidupnya sebelum melalui fasa yang lebih selesa.

Sulaiman berkata, cabaran paling besar sepanjang mengendalikan perniagaan ice blended ialah apabila orang ramai masih tidak mengenali produk berkenaan.

“Saya hampir putus asa kerana orang ramai seakan-akan sukar menerima pada awalnya. Tambahan pula produk Bumiputera dianggap tidak setanding dengan produk sedia ada.

Walaupun berdepan pelbagai situasi mencemaskan, dia tetap akur kerana setiap kesusahan pasti akan berbayar kesenangan jika tidak kenal erti putus asa.

Berkat kesabaran dan menyertai beberapa pameran hab makanan di seluruh negara, Sulaiman bersyukur kerana semakin hari produknya dikenali hingga ada pihak menawarkan pinjaman.

“Saya menerima pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) sebanyak RM40,000 dan duit itu digunakan untuk membeli kenderaan syarikat bagi menghantar produk kepada rakan niaga selain beberapa peralatan tambahan lain.

“Walaupun pencapaian ini tidak sebesar syarikat lain, saya bersyukur kerana sejak ditubuhkan pada 2007, Feeko semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Bermula hanya lima perisa, kini Feeko melangkah lebih maju dengan memperkenalkan 15 perisa baru seperti Tiramisu, Teh Hong Kong, Teh Lemon, Mentega Kacang dan Kopi Karamel.

Ditanya kelebihan ice blended keluaran syarikatnya berbanding jenama sedia ada di pasaran, Sulaiman menjelaskan Feeko dihasilkan melalui proses pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang dibuat sendiri olehnya malah lebih istimewa ia resipi yang dicipta Sulaiman serta boleh dinikmati semua peringkat umur kerana tidak terlalu manis.

Lebih membanggakan, Feeko kini mempunyai 100 rakan niaga berdaftar di seluruh negara dan turut menyediakan perkhidmatan latihan serta rundingan kepada usahawan yang mahu memulakan di bawah program Feeko Mobile dan Feeko Station.

Bersesuaian dengan visi syarikat menjadi peneraju industri minuman berasaskan ice blended terkemuka di Malaysia di samping menawarkan minuman berkualiti, enak serta halal.

“Masih banyak kelemahan perlu diperbaiki dan saya masih belum puas dengan apa yang dikecapi hari ini,” katanya.

PROFIL
NAMA: Sulaiman Yusof
ASAL: Tapah, Perak
USIA: 36 tahun
PENDIDIKAN: Diploma Sains Komputer, Universiti Tun Abdul Razak (Unitar)
JAWATAN: Pengarah Urusan Feeko Haus Sdn Bhd
ANAK: Anis Yasmin (10), Adam Haekal (7), Azeef Imran (4), Aisyah Zahra (2), Kyra Edlin (tiga bulan)
ISTERI: Yusniza Hanim Otshman (33) dan Noor Rasyidah Ibrahim (31)

credit to Hmetro

Kisah Kejayaan Azrymi Kudin – Pengarah Urusan Dynamic Crystal Network Sdn Bhd

Posted on : 19-07-2010 | By : mirlme | In : Blog

Tags: , ,

0

PERNAH ada rakan menyifatkan tindakannya berhenti kerja di sebuah kilang dengan pendapatan mencecah RM12,000 sebulan sebagai ‘gila’.

Namun bagi Azrymi Kudin, 41, yang kini berjawatan Pengarah Urusan Dynamic Crystal Network Sdn Bhd, beliau rela melepaskan semua itu kerana mahu membina empayar perniagaan sendiri.

“Jika diikutkan gaji belasan ribu dengan jawatan kanan dalam sebuah syarikat gergasi, saya boleh dikatakan selesa, namun saya fikir untuk jangka panjang.

“Kerja seperti ini tiada pencen, malah semakin hari ramai mahasiswa keluar universiti, dan terfikir bagaimana anak saya pada masa depan jika tiada kerja selepas tamat pengajian universiti,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Cemara, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Begitupun, katanya, isterinya, Nazliah Ibrahim, 41, banyak memberi dorongan dan membantu ketika beliau mengambil keputusan berhenti kerja.

“Sebelum berhenti pada 2007, isteri ada mengusahakan bisnes kecil-kecilan iaitu butik pengantin dari rumah.

“Saya pula setiap Sabtu dan Ahad, bantu isteri dan cuti sekolah masa paling sibuk kerana banyak tempahan untuk kenduri kahwin.

“Apabila berhenti, isteri beri semangat dan kami menyewa kedai di Sungai Petani untuk menjalankan perniagaan butik pengantin,” katanya.

Siapa sangka, Azrymi juga berbakat dalam bidang solekan hasil pembabitannya dalam bidang itu, malah beliau kini turut mengadakan bengkel alat solek di seluruh negara untuk memberi tunjuk ajar kepada yang berminat mengenai solekan.

Katanya, perniagaan butik yang dimulakan pada 1998 berkembang sedikit demi sedikit sehingga mereka berjaya membuka sebuah lagi cawangan di Kuala Nerang, Kedah.

Antara pengalaman tidak dilupakan sepanjang mengusahakan butik pengantin ialah ada pengantin terpaksa menaiki perahu untuk disolek selepas rumah dilanda banjir selain beliau terpaksa meredah banjir dengan membawa kelengkapan perkahwinan.

Azrymi berkata, sepanjang terbabit dalam bidang itu, beliau terfikir mengapa tiada alat kosmetik berjenama Malaysia yang halal keluaran Bumiputera, sedangkan selama ini beliau menggunakan produk dari luar negara.

Berikutan itu Azrymi membuat kajian sendiri, terutama kehendak dan pasaran negara ini, sebelum berjaya menghasilkan jenama V2 (Vision of 2) merangkumi kosmetik, alat solek dan penjagaan kulit wajah seperti gincu, bedak, pewangi serta losen badan.

Katanya, untuk menghasilkan produk berkenaan, pelbagai cabaran ditempuh dari awal sehingga dikenali seperti mana hari ini.

“Saya pernah memohon pinjaman bank tetapi ditolak dengan alasan baru hendak memulakan perniagaan, malah ada juga menyatakan masih tidak cukup syarat.

“Mahu atau tidak, wang simpanan berjumlah RM200,000 terpaksa digunakan sehingga kami tiada simpanan langsung,” katanya.

Tidak cukup dugaan itu, 20 produk yang berjaya dihasilkan sukar memasuki pasaran, malah ada yang memandang sinis serta memfitnahnya.

“Selepas dilancarkan pada 2006, saya merantau bersama isteri ke seluruh negara. Kami pasarkan di mana-mana salun yang kami jumpa selain orang perseorangan.
“Ada yang menolak, pandang sinis, memfitnah dengan mendakwa syarikat kami berhutang dan muflis, malah ada juga kata produk kami tidak bagus.

“Lebih menyedihkan, ada yang menyatakan produk Malaysia tidak berkualiti,” katanya yang bekerja keras siang dan malam untuk memastikan produk mereka diterima.

Ketika itu Azrymi terfikir adakah beliau membuat keputusan salah selepas berhenti kerja selain rasa bersalah menyelubungi diri.

Begitupun, berkat dorongan dan semangat isteri, Azrymi bangkit dan tidak putus asa dengan apa diceburi.

“Sejak itu saya bertekad untuk terus memasarkan produk kami. Kami keluar pagi balik lewat malam merantau ke seluruh negara, malah ketika demam pun saya bekerja,” katanya.

Sikap tidak berputus asa dan usaha bersungguh-sungguh akhirnya membawa kejayaan apabila produk mereka diterima, malah kini memasuki pasaran Brunei dan Singapura.

Daripada beberapa produk, syarikat Azrymi kini memiliki 30 produk dalam tempoh lima tahun kewujudannya dan beliau menetapkan sasaran setiap empat bulan sekali, satu produk baru dikeluarkan.

Sebenarnya, kejayaan dikecapi anak jati Kedah itu turut dipengaruhi kehidupannya masa lalu.

Katanya, sejak berusia 10 tahun lagi beliau terdedah dengan dunia perniagaan apabila membantu bapa menjual ikan di pasar malam sekitar Kuala Kedah.

“Saya bukan lahir daripada keluarga kaya dan saya selalu membantu ayah menjual ikan, terutama pada hujung minggu atau cuti sekolah.

“Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya berniaga sendiri bermodalkan wang RM30 yang dipinjam daripada ayah untuk menjual kuih pulut sambal.

“Saya berniaga di sebelah gerai ayah dan mendapat keuntungan kira-kira 20 peratus,” katanya.

PROFIL
NAMA: Azrymi Kudin
USIA: 41 tahun
LAHIR: 23 September 1969 di Pulau Pinang
JAWATAN: Pengarah Urusan Dynamic Crystal Network Sdn Bhd
ISTERI: Nazliah Ibrahim
ANAK: Amirul Nazmi (13) dan Adila Nadia (8)
PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Kebangsaan Ibrahim, Sungai Petani, Kedah; Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Almashoor (L) Pulau Pinang, dan Diploma Pengurusan dan Penilaian Harta, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor
ADIK-BERADIK: Keempat daripada enam beradik

credit to Hmetro

Kisah Kejayaan Datuk Mohd Nazar Samad – Pengarah Urusan Kumpulan KUB Malaysia Berhad

Posted on : 19-07-2010 | By : mirlme | In : Blog

Tags: , ,

0

PENCAPAIANNYA boleh disifatkan luar biasa. Betapa tidak, hanya dalam tempoh dua tahun mengemudi KUB Malaysia Berhad (KUB) sebagai Pengarah Urusan Kumpulan, konglomerat yang memayungi puluhan syarikat itu mencipta kejutan apabila meraih keuntungan selepas 11 tahun dalam ‘kegelapan’.

Momentum pemulihan KUB terus meningkat dengan kemampuan meraih keuntungan untuk kali kedua bagi tahun kewangan 2009. Pada tempoh berkenaan KUB mencatat keuntungan bersih RM80.2 juta.

Sekali lagi, buat pertama kali dalam sejarah KUB, kontrak pengarah urusan kumpulan itu dilanjutkan sehingga 2013.

Begitulah rekod Pengarah Urusan Kumpulan itu. Beliau yang dimaksudkan adalah Datuk Mohd Nazar Samad, 54.

Dalam pertemuan baru-baru ini, anak kelahiran Jelutong, Pulau Pinang itu nyata gembira dengan pencapaiannya, namun itu bukan alasan untuk berbangga diri mahupun mendabik dada mengatakan beliau yang terbaik.

Beliau lebih gemar merendah diri dengan mengatakan kejayaan diperoleh adalah hasil kerjasama ‘pasukan’ yang mantap.

“Kita ada orang (pengurusan dan kakitangan) yang baik. Kita kena manfaatkan dengan cara kita.

“Bisnes tak ada yang pengakhirannya tidak baik, melainkan bisnes yang tidak baik. Pucuk pangkalnya kita kena uruskan dengan baik,” katanya.

Bagi Mohd Nazar, satu pendekatan digunakan yang membantu beliau menguruskan KUB sehingga kembali ‘bersinar’ adalah konsep tiada jurang.

“Kenapa perlu ada jurang (sesama pengurusan dan kakitangan). Saya tak boleh terima.

“Saya percaya kepada konsep tiada jurang. Itu satu cara nak uruskan syarikat dengan baik. Jika kita mempunyai hubungan baik dengan kakitangan, secara automatik mereka berasa dihargai dan seterusnya memberi komitmen terbaik untuk syarikat,” katanya.

Konsep tiada jurang yang diamalkan Mohd Nazar dibuktikan dengan kesungguhannya ‘turun padang’ ke lokasi perniagaan KUB. Beliau tidak kisah mengharung lumpur dan banjir di ladang, malah tidak kisah untuk menjenguk dapur restoran makanan segera A&W.

Jika ada peluang, beliau makan bersama-sama kakitangannya tidak kira walau di mana sekalipun, termasuk di bawah pokok.

“Saya percaya, sebagai ketua kita kena turun padang. Tak kira CEO (Ketua Pegawai Eksekutif), MD (Pengarah Urusan) ke apa ‘d’ ke, kita kena turun padang.

“Kita perlu rasa mereka (kakitangan) sebahagian daripada kita. Apabila berlaku begitu, kakitangan akan buat kerja dengan sepenuh hati dan tiada tekanan untuk mereka,” katanya yang mengakui ‘tidak boleh duduk diam’.

Tidak hairan, dek kerana sifat ‘tidak boleh duduk diam’ itu, jika bos lain menanti kunjungan, Mohd Nazar berbuat sebaliknya.

“Bos lain duduk pejabat tunggu kakitangan datang, tetapi saya tak boleh begitu. Rasa ‘kebas’ kalau duduk pejabat saja.

“Sebab itu saya ‘turun padang’ jumpa kakitangan dan lihat bisnes. Itu cara sayalah…,” katanya.

Mohd Nazar juga percaya mana-mana pelapis di dalam syarikat yang bijak dan berpotensi perlu diberi peluang dan dilatih sebaik mungkin.

“Kita perlu latih pelapis yang berkebolehan dalam syarikat. Golongan terbabit perlu diberi pendedahan.

“Sebagai contoh, saya beri peluang kepada pengurus muda yang ada di KUB untuk bercakap ketika mesyuarat. Kalau tersangkut, saya bantu.

“Baru lembaga pengarah boleh tahu ‘perangai’ setiap seorang daripada mereka dan dapatlah kita tahu kekuatan dan kelemahan mereka,” katanya.

Selain menggunakan pendekatan disifatkan sebagai ‘mesra’ itu, pengalaman lebih 30 tahun dalam pengurusan kanan strategi dan operasi di beberapa syarikat sebelum dilantik ke jawatan Pengarah Urusan Kumpulan KUB turut dimanfaatkan, sekali gus memberi kelebihan kepada dirinya mendepani pelbagai cabaran.

Bukan calang-calang pengalaman dimiliki kerana beliau berpengalaman lebih 13 tahun dalam bidang perbankan. Selepas itu beliau beralih ke Cold Storage Malaysia daripada jawatan Ketua Perhubungan Korporat sehingga ke tahap Ketua Eksekutif Kumpulan sebelum menyertai Krystar Management Sdn Bhd, firma perunding pengurusan yang bertanggungjawab menubuhkan rangkaian kedai bebas cukai Eraman untuk Malaysia Airport Berhad.

Dari 1998 hingga 2002, Mohd Nazar berkhidmat di Afrika Selatan di sebuah syarikat yang mengeluarkan bahan binaan dan tersenarai di bursa saham Johannesburg sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Buildmax Ltd. Pada 2003, Mohd Nazar meneruskan kerjayanya di syarikat pembuatan dan jualan baja khusus untuk sektor pertanian, Diversatech (M) Sdn Bhd sebagai Pengerusi dan Penasihat.

Mohd Nazar kemudian menjadi Penasihat kepada Halal Industry Development Corporation dari 2006 sehingga 2007 sebelum dilantik sebagai Pengarah Eksekutif KUB pada 1 Mac 2007 dan seterusnya dilantik sebagai Pengarah Eksekutif & Ketua Eksekutif pada 2 April 2007. Jawatan beliau ditukar kepada Pengarah Urusan Kumpulan pada 24 Disember 2008.

Bagi Mohd Nazar, pengalaman selama lebih 30 tahun itu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin, terutama menghindarkan apa saja perkara yang tidak perlu dilakukan.

“Pengalaman diperoleh bukan saja membantu daripada segi berdepan pelbagai situasi, tetapi paling penting pengalaman diperoleh mengajar kita untuk menghindar apa saja perkara yang tidak perlu dilakukan,” katanya.

Tidak lokek berkongsi pengalaman lebih 30 tahun itu, Mohd Nazar bercerita bagaimana beliau meredakan suasana tegang di kilang besi di Afrika Selatan ketika bertugas di negara itu satu ketika dulu.

“Ketika itu pengurusan terpaksa memecat seorang penyelia warga Afrika. Memandangkan kesatuan sekerja mereka memang kuat, keputusan itu menyebabkan mereka marah.

“Ketika pulang selepas makan tengah hari, saya lihat semua pekerja berkumpul sambil berjoget. Memang saya terkejut kerana jika dalam keadaan sedemikian, itu tandanya mereka buat protes,” katanya.

Menurut Mohd Nazar, hubungan baik yang terjalin antara beliau dengan pekerja menerusi pendekatan ‘mesra’ digunakannya berjaya menyelesaikan masalah itu.

“Selepas mereka selesai membuat protes, saya kumpulkan mereka. Saya buat ‘barbeque’ dan mendekati serta memahami masalah mereka. Penyelia itu tetap dibuang dan mereka akur,” katanya.

Sebagai ketua eksekutif di syarikat berkenaan, selain berkemampuan menangani masalah seperti itu, Mohd Nazar boleh disifatkan serba boleh dan bertuah kerana berjaya menguruskan pelbagai jenis ‘manusia’.

“Jika di sini (Malaysia) ada tiga bangsa saja, tetapi ketika di Afrika saya berdepan pelbagai jenis bangsa dari seluruh dunia. Yang ‘orang putih’, ada Yahudi, Portugis, Greek dan macam-macam lagi.

“Ada juga India Muslim dan Melayu Afrika. Pengalaman menguruskan mereka memang sangat berharga dan ia membantu saya dalam menguruskan KUB ketika ini,” katanya.

Selain pengalaman di Afrika, Mohd Nazar bercerita bagaimana beliau bertemu seorang pemegang saham Cold Storage Malaysia Berhad ketika dilantik menjadi ketua eksekutif kumpulan syarikat itu.

“Ketika itu usia saya 37 tahun. Seorang pemegang saham berusia 70 tahun dari Hong Kong bersalaman dengan saya. Dia kata: “orang muda, saya tak tahu sama ada mahu mengucapkan tahniah atau takziah kepada awak (di atas pelantikan sebagai ketua eksekutif kumpulan).”

“Rasa lucu ada, bingung pun ada. Mungkin kerana usia saya masih muda menyebabkan lelaki itu berkata sedemikian rupa. Namun saya tidak kisah kerana saya anggap ia sebagai cabaran untuk membuktikan kemampuan saya,” katanya.

Menurut Mohd Nazar, ketika dilantik sebagai pengarah eksekutif dan ketua eksekutif (sebelum ditukar kepada pengarah urusan kumpulan) KUB beliau turut berdepan situasi sama.

“Ramai bersalaman sambil mengungkapkan ‘semoga berjaya’. Banyak kali juga saya terima ungkapan begitu.

“Mesej yang saya dapat daripada ungkapan itu membayangkan mustahil untuk saya mengembalikan kegemilangan KUB, sekali gus melontarkan cabaran kepada saya. Saya sahut cabaran itu dan Alhamdulillah, saya berjaya melakukannya,” katanya.

Tidak segan bercerita zaman mudanya, Mohd Nazar mengakui pernah mengambil upah mengangkat beg pengunjung di sebuah hotel di Pulau Pinang. Betapa gigihnya Mohd Nazar, ketika itu beliau melakukan dua kerja pada satu masa.

“Pekerjaan pertama saya selepas tamat pengajian di ITM (UiTM) adalah juruaudit malam. Habis saja peperiksaan akhir, saya naik kereta api untuk balik kampung. Saya bekerja sebagai juruaudit malam di sebuah hotel di Pulau Pinang bermula dari jam 11 malam hingg 7 pagi sampai tak berpeluang untuk berkawan.

“Pada masa sama, saya menyamar sebagai tukang angkut beg pengunjung hotel. Dapatlah ‘tips’ RM2, lepaslah makan nasi kandar. Saya tak malu (buat kerja itu), buat apa nak malu,” katanya.

Mohd Nazar turut selamba bercerita bagaimana beliau mengisi masa terluang hujung minggu dengan belajar membuat batu blok.

“Ketika bekerja di bank, saya lihat pekerja kontrak memasang batu blok. Kerana minat mahu belajar membuatnya, tiba saja hujung minggu saya belajar buat batu blok.

“Susah juga rupa-rupanya. Kadangkala belum kering batu blok yang dibuat, dilanggar ayam, habis hancur,” katanya yang turut pernah berniaga menjual bawang di pasar malam.

‘Warna-warni’ yang melatari kehidupan Mohd Nazar nyata membuatkan beliau berani menanggung risiko dan tidak gentar mencari peluang baru untuk mencapai tahap lebih baik.

Ia dapat digambarkan menerusi kerjayanya yang tidak terhad kepada sebuah syarikat.

“Jika kita mahu maju, jangan takut untuk keluar. Jika dapat peluang lebih baik, ambil saja.

“Prinsip saya mudah, tak ada benda yang kekal. Kita masuk dalam sesebuah organisasi kita beri 100 peratus, tetapi tidak akan ada yang kekal. Kalau kita beri untung kepada syarikat sampai berbilion sekalipun, sampai masanya kena keluar juga,” katanya.

Bagi Mohd nazar, jika diikutkan hati dia mahu berehat dan tidak mahu menyambung kontraknya, tetapi apabila difikirkan semula ia sesuatu yang tidak adil.

“Penat juga, rasa tak nak (sambung kontrak) tapi bila fikirkan tak adillah kalau tak sambung kontrak. Saya perlu meneruskan apa yang dirancang demi kelangsungan syarikat ini.

“Kita kena bagi balik (sumbangan) untuk sokongan yang diberi sama ada daripada pihak pengurusan, kakitangan mahupun pemegang saham, termasuk warga emas yang bersama KUB sejak zaman koperasi dulu,” katanya ikhlas.

PROFIL

NAMA: Datuk Mohd Nazar Samad
USIA: 54 tahun
ASAL: Jelutong, Pulau Pinang
JAWATAN: Pengarah Urusan Kumpulan KUB Malaysia Berhad
PENDIDIKAN: Diploma Perakaunan Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara – UiTM), Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Perniagaan, Universiti Oklahoma City, Amerika Syarikat
ANUGERAH: Anugerah Keusahawanan Cemerlang Asia Pacific Entrepreneurship (APEA) Awards 2009
ISTERI: Datin Marina Ismail
ANAK: Muhammad Afiq (17)

credit to Hmetro

Kisah Kejayaan Nik Ahmad Ariffin – Pengarah Urusan Furnitech Industries (M) Sdn Bhd.

Posted on : 19-07-2010 | By : mirlme | In : Blog

Tags: , ,

0

TEMPIAS kegawatan dirasai kebanyakan orang dan dia tidak terkecuali. Ketika bahang kejatuhan ekonomi melanda pada 1997, dia diberhentikan kerja. Namun, kehilangan pekerjaan bukan bermakna dirinya harus tenggelam punca dan cuma berserah pada nasib.

Enggan mengalah pada keadaan, Nik Ahmad Ariffin, 48, mengubah angin menyeberangi seberang tambak, Singapura untuk mencari nafkah.

Bagaimanapun, setahun hujan emas di negara orang, kesukaran mendapatkan permit kerja di negara itu menyebabkan dia akur dan mengambil keputusan berhenti kerja.

Kali ini dia nekad memulakan perniagaan kerana menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan rakyat berniaga di samping melihat potensi besar dalam industri pembuatan perabot.

Tanpa modal dan pinjaman daripada sebarang agensi, pilihan yang ada pada Nik Ahmad ialah menjual kereta yang dipakai. Hasil jualan kenderaan itu, dia memperoleh RM10,000 yang dijadikan modal memulakan perniagaan.

Mengorak langkah pertama, Pengarah Urusan Furnitech Industries (M) Sdn Bhd itu menyewa sebuah kedai kecil di Taman Melawati, Hulu Klang dan membeli mesin serta peralatan membuat perabot.
Pengalaman sebagai pelukis pelan serta bidang rekaan selama enam tahun dijadikan sandaran lelaki ini meneroka dunia pembuatan perabot yang jarang diceburi Bumiputera.

Bermula dengan pembuatan kerusi pejabat selama lapan tahun, dia beralih ke bidang pembuatan sofa yang diyakini mampu melangkah jauh kerana mempunyai pasaran lebih luas.

“Pembuatan sofa satu kepuasan untuk saya. Ketika mengusahakan kerusi pejabat, pasarannya baik tetapi memerlukan kontrak. Jadi saya beralih kepada pembuatan sofa kerana melihat potensi besar dalam bidang ini.

“Alhamdulillah, sepanjang mengusahakan pembuatan sofa, tiada masalah besar dihadapi, cuma kerja dilakukan perlu teliti dan kekemasan dalam penghasilan produk sangat penting.

“Ini kerana setiap produk yang kita hasilkan berdasarkan tempahan dan pelanggan menaruh harapan tinggi pada kita untuk menghasilkan produk seperti yang mereka harapkan.

“Jika pelanggan berpuas hati, mereka akan datang lagi kepada kita atau memberitahu rakan. Daripada situ, pelanggan semakin bertambah dan mereka percaya pada kualiti dan perkhidmatan ditawarkan syarikat,” katanya.

Memperoleh pasaran daripada kontrak, kerajaan dan individu, Nik Ahmad berkata, sofa kini sebahagian gaya hidup, malah kebanyakan rumah mesti ada sofa dan pejabat juga tidak terkecuali menyediakannya untuk keselesaan tetamu.

“Sofa dihasilkan di kilang saya ialah ‘custom made’ iaitu rekaan dibuat mengikut kehendak pelanggan. Mereka bebas menempah mengikut cita rasa masing-masing, sama ada memberi idea rekaan diingini atau memilih warna fabrik mahupun material yang tidak sama dengan pelanggan lain.

“Kebanyakan pelanggan lebih selesa memiliki barangan yang rekaannya tersendiri iaitu tiada di tempat lain. Ini menjadikan barangan yang ditempah khas lebih istimewa kerana tidak sama dengan sofa di rumah jiran atau rakan.
“Malah, sebilangan pelanggan juga membuat tempahan kerana sudah ada konsep iaitu mahukan corak pada fabrik sofa mereka senada dengan langsir dan boleh dipadankan dengan permaidani,” katanya.

Mempertaruhkan jenama ‘Nik’ iaitu namanya sendiri, Nik Ahmad berkata, tidak dinafikan setiap pekerjaan dilakukan memang ada susahnya tetapi apa juga dilakukan, ia perlu disertai keikhlasan.

“Apabila melakukan perkara yang kita minat, pasti ia dilakukan dengan kesungguhan dan keikhlasan. Jadi, saya akan cuba atasi setiap masalah dan tidak jadikan ia penghalang untuk memajukan perniagaan.

“Misalnya, jika berjanji dengan pelanggan dalam tempoh tertentu, saya akan usahakan untuk menghantar tempahan dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Untuk memantapkan perniagaan, Nik Ahmad sentiasa mengikuti kursus, latihan dan pendedahan, misalnya dari Pusat Teknologi Industri Perabot (Fitec) di bawah Mara serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang membawanya mengikuti pameran di luar negara.

Peluang mengikuti ekspo perabot di luar negara membolehkannya mendapat pendedahan dan meluaskan pasaran industri pembuatan perabot. Nik Ahmad pernah mengikuti pameran perabot di Romania, Bangladesh dan terbaru di Milan, Itali.

“Apabila menyertai pameran di luar negara, kesannya pasaran semakin besar dan kami perlu bersedia daripada segi kapasiti pengeluaran. Ketika mengikuti ekspo di Itali, sesuatu yang membanggakan ialah orang Itali tahu Malaysia menghasilkan perabot berkualiti.

“Ini kerana mereka pernah membeli perabot Malaysia dan tahu kualiti produk kita setanding dengan produk antarabangsa. Susulan ekspo itu Furnitech Industries kini dalam peringkat menghantar sampel kepada Itali,” katanya.

Ketika ditemui di kilangnya di Jalan Batu Caves, Kuala Lumpur, Nik Ahmad berkata, dia tidak mempelajari kaedah pembuatan sofa daripada pihak berkaitan, sebaliknya belajar sendiri disebabkan minat tinggi.

“Proses cuba buat dan gagal perkara biasa sewaktu mula menceburkan diri dalam industri perabot. Apapun, kita tiada pilihan kecuali menyiapkan tempahan pelanggan.

“Pada peringkat awal, memang adat ada pelanggan tidak berpuas hati dengan kualiti produk, tetapi saya menerima dengan hati terbuka dan cuba memperbaiki kelemahan. Pengalaman datang selari dengan kualiti. Proses itu memakan masa panjang,” katanya.

PROFIL
NAMA: Nik Ahmad Ariffin
JAWATAN: Pengarah Urusan Furnitech Industries (M) Sdn Bhd.
UMUR: 48 tahun
ASAL: Endau, Mersing, Johor
NAMA ISTERI: Rosdiana Mohd Radzi
ANAK: Nik Syahira (17); Nik Syazwani (14), Nik Syibrah (12) dan Nik Suhaila (8)

credit to Hmetro

Kisah Kejayaan Aziela Che Nor – Pengarah Urusan ZZ Beauty Slim Health

Posted on : 19-07-2010 | By : mirlme | In : Blog

Tags: , ,

0

DIA pernah mengalami dua kegagalan terbesar dalam hidupnya dan kehidupan dilaluinya ketika itu terlalu perit sehingga pernah terlintas untuk menyerah kalah.

Namun menyedari dia perlu kuat dan tabah demi keluarga, terutama anak, dia bangkit semula daripada kegagalan itu dan cuba menebusnya semula dengan kejayaan.

Berkat kecekalan dan sikap tidak mudah berputus asa akhirnya membuahkan kejayaan apabila dia kini mampu tersenyum melihat syarikat kecantikannya, ZZ Beauty Slim Health semakin melebarkan sayapnya.

Aziela berkata, pembabitannya dalam bidang perniagaan bermula apabila dia membuka sebuah restoran pada 1994.

Pada mulanya perniagaannya berjalan lancar, namun ia mula mengalami beberapa masalah sehingga terpaksa ditutup, sekali gus menyebabkannya menanggung kerugian besar.

Kehidupannya sekali lagi diuji apabila insan yang diharapkan menjadi penyokong dan tempat bergantung menceraikannya dan meninggalkan bersama anaknya di saat dia memerlukan sokongan keluarga.

“Ketika itu saya sangat tertekan dan memerlukan sokongannya kerana dia menjadi nadi saya selama ini tetapi kehilangannya membuatkan semangat saya turut lenyap.

“Saya terpaksa menanggung kerugian bersendirian dan hilang arah tuju, malah hidup saya semakin kucar-kacir,” katanya.

Menyedari hidupnya tidak akan berubah jika dia terus bersedih, Aziela tekad mencari jalan untuk membina semula kehidupannya.

Kegagalan dalam bidang perniagaan tidak sedikit pun membuatkannya serik, sebaliknya dia memberanikan diri untuk menceburi bidang perniagaan kecantikan.

Katanya, dia terpaksa menjual kereta peninggalan bekas suaminya sebagai modal untuk membuka gerai menjual barangan kecantikan.

“Dengan modal sebanyak RM15,000, saya hanya mampu menyewa lot gerai yang kecil serta berkongsi dengan kedai lain dengan menjual produk kecantikan pihak lain.

“Saya terpaksa bermula dari bawah dan keadaan ketika itu sungguh sukar, namun saya bertuah kerana mendapat sokongan dan bantuan ahli keluarga,” kata anak sulung daripada lima beradik ini.

Apabila melihatkan perniagaannya boleh ‘bernafas’, Aziela terfikir untuk mengeluarkan produk kecantikannya sendiri.

Demi merealisasikan hasratnya, dia terpaksa menggadai semua barang kemas miliknya bagi mendapatkan wang untuk dijadikan modal mengeluarkan produk kecantikannya.

Dengan modal sebanyak RM30,000, dia hanya mampu mengeluarkan satu produk iaitu scrub muka berasaskan kolagen.

Dia juga terpaksa turun padang untuk menjual produknya dengan bantuan adiknya, Aimiey Marlina Che Nor, 32, yang banyak memberi sokongan dan dorongan kepadanya.

Sememangnya bukan mudah meyakinkan orang untuk mencuba produknya, lebih-lebih lagi ia produk baru yang tidak mempunyai nama kukuh dalam pasaran.

“Saya terpaksa ke hulu dan ke hilir meyakinkan orang ramai dengan melakukan demonstrasi di kaki lima di depan Kompleks Pertama.

“Penerimaan orang pada awalnya memang mengecewakan sehingga pernah membuatkan saya hampir berputus asa,” katanya yang berasal dari Kelantan.

Namun apabila mengingatkan pesanan ibunya supaya jangan sesekali menoleh ke belakang, dia bertekad untuk mengharungi segala cabaran.

Berkat kesabaran dan ketabahannya, Aziela kini mampu mengukir senyuman apabila produk kecantikannya berjaya menembusi pasaran.

Bermula dengan hanya satu jenis produk, ZZ Beauty kini mengeluarkan lima jenis produk kecantikan wajah, antaranya 24K Gold Collagen Series dan IZ Advanced Set.

Melihat jenama ZZ Beauty Slim Healthy semakin diterima dan kukuh di pasaran, Aziela melangkah setapak ke depan dengan memperkenalkan program menguruskan badannya.

Katanya, kebanyakan program menguruskan badan di pasaran kini dipelopori syarikat antarabangsa yang mana harga ditawarkan terlalu mahal.

Yang menarik, program menguruskan badannya adalah satu-satu program milik Bumiputera di negara ini.

“Saya ingin memenuhi impian individu yang mengalami masalah berat badan untuk tampil cantik dengan kos yang jauh lebih murah dari tempat lain,” katanya.

PROFIL
NAMA: Aziela Che Nor
UMUR: 40 tahun
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
JAWATAN: Pengarah Urusan ZZ Beauty Slim Health
ASAL: Pasir Mas, Kelantan
SUAMI: Muzaffar Mustapa
ANAK: Wan Muhammad Izzat Ezany (21); Siti Aisyah Zulaikha Muzaffar (9) dan Siti Camalin Sofea Muzaffar (8)

credit to Hmetro

Related Posts with Thumbnails